Skip to main
Logo Malaysiakini

Indeks Harga Pengguna turun 2.9 peratus pada Mei

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Indeks harga pengguna (IHP) Malaysia turun 2.9 peratus pada bulan Mei kepada 117.9 berbanding 121.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Penurunan indeks sebanyak 2.9 peratus itu sama seperti dicatatkan pada April 2020 (berbanding April 2019), iaitu kadar perubahan terendah sejak 2010.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan IHP keseluruhan ini didorong oleh penurunan indeks kumpulan pengangkutan (-20.8 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6 peratus), pakaian dan kasut (-1.1 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.2 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

“Bagaimana pun, kumpulan utama makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan bagi Mei 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 134.3 berbanding 132.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Pada masa yang sama, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.8 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.2 peratus) dan pendidikan (1.0 peratus).

Mohd Uzir berkata IHP tanpa bahan api berada pada kadar positif iaitu 0.1 peratus pada Mei 2020 berbanding 0.2 peratus pada April 2020.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali RON95, RON97 dan diesel.

“Purata harga RON95 yang lebih rendah pada Mei 2020 iaitu RM1.30 setiap liter berbanding RM2.08 pada Mei 2019 telah menyumbang kepada penurunan indeks pengangkutan dan indeks keseluruhan.

“Tambahan pula, purata harga RON97 menunjukkan penurunan harga kepada RM1.60 satu liter berbanding RM2.74 manakala diesel susut kepada RM1.45 satu liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” kata beliau.

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.3 peratus berbanding April 2020, disumbangkan oleh pengangkutan (1.0 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.5 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (0.3 peratus), restoran dan hotel (0.1 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus).

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Mei 2020, IHP merosot 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh kumpulan pengangkutan (-9.1 peratus) dan pakaian dan kasut (-1.2 peratus).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -1.9 hingga -3.8 peratus pada Mei 2020 berbanding Mei 2019. Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Sarawak (-3.8 peratus) diikuti Kelantan (-3.7 peratus) dan Kedah dan Perlis (-3.7 peratus).

Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

- Bernama