Skip to main
Logo Malaysiakini

NUTP mohon KPM timbang semula pengurangan cuti sekolah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berharap Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin mempertimbangkan semula pindaan Takwim Penggal Persekolahan tahun 2020.

Katanya, langkah memendekkan cuti penggal dua dan akhir tahun itu menimbulkan kekecewaan dan kegelisahan, khususnya guru dari Semenanjung yang mengajar di Sabah dan Sarawak.

"Kita harap pihak Kementerian Pendidikan dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut. Keputusan yang dibuat oleh KPM memendekkan cuti tersebut akan menimbulkan kekecewaan dan kegelisahan, selain mengganggu banyak perancangan yang telah dibuat (guru).

"Ramai guru terutamanya di Sabah dan Sarawak yang sudah lama tidak balik ke kampung dan merancang untuk balik ke kampung pada tarikh cuti sebagaimana yang asal tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana perubahan yang baru ini.

"Harapan kita semoga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat membuat penilaian semula terhadap keputusan tersebut dan kembalikan kepada cuti yang asal," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, KPM mengumumkan pindaan takwim persekolahan itu melibatkan cuti pertengahan penggal dua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

Cuti akhir tahun bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) pula dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

KPM berkata pindaan itu bertujuan membantu sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran pelajar selepas sekolah ditutup lebih tiga bulan akibat Covid-19.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pihaknya juga akan membuat surat rayuan kepada Radzi berhubung perkara tersebut.

"Kita akan buat surat rayuan kepada yang berhormat menteri untuk mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Sementara itu, bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik dalam satu kenyataan mempersoalkan mengapa KPM tidak berbincang dengan guru sebelum membuat pindaan terbabit.

Kata Maszlee, beliau dihujani luahan guru melalui mesej peribadi dan media sosial yang tidak berpuas hati dengan keputusan memendekkan cuti persekolahan itu.

“Saya secara peribadi berasa sedih dan juga kecewa ketika pendapat guru tidak diambil kira dalam keputusan penting seperti yang dilaksanakan oleh menteri pendidikan," katanya.

Sekolah dibuka semula hari ini untuk pelajar tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.