Skip to main
Logo Malaysiakini

Rundingan bagi bebaskan pelancong India dari depot imigresen

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur sedang berunding dengan Jabatan Imigresen Malaysia dalam usaha membebaskan warga India yang masih berada di pusat tahanan.

Puluhan pelancong India dilaporkan masih ditahan di depot tahanan imigresen Bukit Jalil sejak Mei lalu, kerana 'menetap melebihi masa' selepas visa mereka tamat tempoh. Depot tersebut merupakan titik panas penularan Covid-19 dengan lebih 600 kes.

"Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur telah menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia bagi menyelesaikan cara membebaskan mereka yang ditahan di kem tahanan," kata suruhanjaya itu.

Suruhanjaya Tinggi India sebelum ini memberitahu anggota keluarga mereka yang berada dalam tahanan imigresen belum dapat dibebaskan kerana penularan Covid-19.

Malaysiakini telah menghubungi beberapa ahli keluarga yang mendakwa bahawa saudara-mara mereka adalah pelancong yang kini dalam tahanan imigresen setelah terkandas di Malaysia sejak pertengahan Mac susulan semua penerbangan ke India dibatalkan.

Mereka enggan mendedahkan identiti masing-masing kerana khuatir saudara-mara mereka yang dalam tahanan imigresen akan dijadikan mangsa, tetapi membekalkan dokumentasi bagi membuktikan mereka telah memasuki negara ini dengan pas lawatan sosial yang sah.

Ahli keluarga mereka yang ditahan setelah visa lawatan sosial mereka tamat dalam tempoh PKP telah meminta bantuan dari Suruhanjaya Tinggi India berikutan berita bahawa seorang warganegara India meninggal dunia dalam tahanan imigresen pada 12 Jun.

Zeawdeen Kadar Masdan, 67, ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di depoh imigresen Bukit Jalil pada 11 Jun dan dikejarkan ke hospital tetapi kemudiannya meninggal dunia. Dia memasuki Malaysia dengan pas lawatan sosial yang sah pada 17 Mac.

Laporan bedah siasat masih belum selesai, tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan lelaki itu positif Covid-19 dan terdapat kesan-kesan radang paru-paru, iaitu kesan sampingan Covid-19.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian masih dijalankan untuk mengesahkan punca kematian kerana mangsa juga mempunyai rekod sebagai mempunyai sakit jantung, buah pinggang dan diabetes.

Pada 4 Mei lalu, empat hari sebelum dia ditahan, KKM mengeluarkan surat kepadanya untuk memaklumkan bahawa dia tidak dijangkiti Covid-19.

Namun, dia kemudiannya didapati positif Covid-19 ketika dalam tahanan pada 26 Mei dan dirawat sehingga 7 Julai, dan telah pulih. Dia seterusnya dimasukan kembali ke pusat tahanan Bukit Jalil.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sedang menyiasat perkara itu.

[Baca berita penuh]