Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis jelaskan telah tahan semula lelaki disyaki rogol wanita Nigeria

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Kuala Lumpur menjelaskan telah menahan semula seorang lelaki warga tempatan selepas disyaki merogol seorang wanita warganegara Nigeria.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, lelaki berkenaan bersama tiga lagi individu termasuk seorang wanita Warga Thailand ditahan pada 4 Jun lalu selepas mangsa membuat laporan polis mendakwa dipukul.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek lelaki tersebut dibebaskan dengan jaminan polis pada 9 Jun selepas permohonan untuk menyambung reman ditolak, manakala wanita warga Thailand itu ditahan reman selama 14 hari kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang lengkap.

Beliau berkata mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan serta ditahan di wad selama tiga hari bermula 4 Jun sebelum mendakwa dirogol.

"Pada 9 Jun 2020, jam lebih kurang 7.50 malam, setelah selesai memberi keterangan berkaitan kes pukul, pengadu telah membuat laporan polis mengenai kejadian rogol yang berlaku pada hari yang sama pengadu dipukul.

"Pada awalnya, pengadu tidak mahu memanjangkan kes rogol dan enggan membuat pemeriksaan di hospital.

"Namun, pengadu membuat laporan polis kedua tersebut setelah ditahan di wad selama 3 hari dan dinasihatkan oleh pihak polis supaya membuat laporan berkaitan kejadian tersebut," kata Mazlan.

Sehubungan itu, Mazlan berkata pihak polis telah membuat tangkapan semula terhadap lelaki berusia 44 tahun itu pada 20 Jun.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama enam hari bermula 21 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Mazlan berkata pihak polis juga sedang giat mengesan tiga lagi suspek lelaki yang masih bebas untuk siasatan lanjut berkaitan kes tersebut.

Terdahulu sebelum ini tular di media sosial yang mendakwa polis menahan mangsa dan membebaskan suspek yang merogolnya.

Mazlan berkata, mangsa ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta direman selama 14 hari bermula 10 Jun lalu.

Beliau berkata wanita itu kini ditempatkan di Penjara Kajang sehingga siasatan kes rogol selesai.

"Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak sahih serta sentiasa menyemak sebarang maklumat yang diperolehi.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana balai polis berdekatan," katanya.