'Faizal tak sensitif tukar kereta rasmi baru di saat rakyat berdepan kesukaran'
Pemuda PH Perak membidas pembelian kereta kereta jenis sedan Lexus ES berharga RM200,000 sebagai kereta rasmi baru menteri besar Ahmad Faizal Azumu di saat ramai yang berdepan kesukaran susulan wabak Covid-19.
Menurut mereka, ia menunjukkan sikap hipokrit Faizal di sebalik imej berbeza yang cuba ditunjukkannya.
"(Ini) menunjukkan sikapnya yang hipokrit dan tidak sensitif terhadap keadaan rakyat yang berdepan cabaran dan kesukaran dalam aspek ekonomi ekoran wabak Covid-19.
"Sikap hipokritnya kian terlihat mutakhir ini, walaupun dia cuba menunjukkan imej 'cool', tetapi di sebaliknya dia sentiasa membuat keputusan dan mengambil tindakan yang memberi manfaat kepada dirinya sendiri," kata Pemuda PH Perak dalam kenyataan, seperti dipetik the Malay Mail.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hasim, Ketua Pemuda DAP Perak Chaw Kam Foon dan Ketua Pemuda PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri.
Semalam, Faizal dilaporkan berkata beliau mendapat kenderaan rasmi baru kerana salah satu daripada 16 Toyota Camry milik kerajaan negeri telah dijual kepada bekas penasihat undang-undang negeri Rohana Abd Malek, yang bersara pada bulan Disember lalu.
"Dia meminta untuk membelinya. Dia adalah penasihat undang-undang kami yang paling lama berkhidmat, jadi kami bersetuju (menjualnya).
"Dia masih perlu membelinya dengan harga lebih dari RM100,000, yang lebih murah daripada membelinya di luar," katanya.
Faizal berkata, kereta itu dibeli kerajaan negeri pada harga sekitar RM200,000. Kereta dengan kapasiti enjin 2.5L ini dibuat di Jepun dengan harga pasarannya bermula dari RM300,000.
Bagaimanapun, Pemuda PH Perak mempersoalkan sama ada kereta yang dijual itu merupakan kenderaan yang diperuntukkan kepada Rohana atau yang digunakan Faizal.
"Jika ia kereta yang digunakan pegawai itu, maka kereta ganti sepatutnya pada kadar harga yang sama dengan harga asal (Camry).
"Mengapa Faizal yang mendapat kereta baru, yang lebih mahal daripada Camry yang digunakan pegawai eksekutif dan exco?
"Beliau tidak berempati langsung dengan keadaan rakyat di mana ribuan penduduk negeri telah hilang sumber pendapatan dan kerja (susulan Covid-19)," kata mereka lagi.
Tahun lalu, Faizal turut mengundang kecaman apabila mencadangkan kereta Proton Perdana yang dijadikan kenderaan rasmi pada masa itu ditukar dengan Toyota Camry.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai