Skip to main
Logo Malaysiakini

RTM ke udara berpakaian seragam sekolah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setelah berbulan-bulan sekolah ditutup susulan langkah membendung penularan wabak Covid-19, akhir loceng berdering semula, semalam, menandakan sekolah kembali dibuka dalam norma baru.

Bukan sahaja pelajar yang teruja mengenakan persalinan baju seragam sekolah masing-masing, tetapi stesen penyiaran nasional RTM turut serta meraikan pembukaan semula sekolah semalam.

Pasukan berita dan bual bicara Selamat Pagi Malaysia, ke udara dalam persalinan seragam sekolah - ada yang hadir sebagai pelajar biasa dengan sepasang baju seragam putih-hijau, ada pula yang hadir sebagai pengawas dengan persalinan biru.

Ini termasuklah penyampai berita, wartawan, serta kru penerbitan.

Malah, seorang wartawannya, Siti Farah Nadia Fadzlon turun padang ke Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Klang, Selangor bagi meninjau pelaksanaan normal baru di sekolah.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM Nor Yahati Awang, dalam satu hantaran Facebook semalam, berkata langkah itu adalah sebagai tanda sokongan kepada guru-guru serta para pelajar yang memulakan sesi persekolahan semalam.

“Seluruh warga kerja berita RTM dan Selamat Pagi Malaysia di ibu pejabat dan negeri-negeri mengenakan pakaian seragam sekolah menengah semasa bersiaran,” katanya dalam hantaran itu.

Berdasarkan laporan Sin Chew, kakitangan di stesen radio RTM berbahasa Cina Ai FM turut mengenakan pakaian seragam berkenaan.

Ternyata usaha comel itu daripada RTM itu mendapat sambutan riang daripada warganet, apabila hantaran Nor Hayati dikongsi ribuan kali.

Ada warganet yang berkata langkah itu dapat memberi galakan kepada anak-anak untuk kembali bersekolah, malah ada juga guru yang menzahirkan rasa tersentuh dengan sokongan daripada kakitangan RTM itu.

“Minggu depan murid prasekolah pula masuk. Boleh pakai baju prasekolah pula ya,” usik seorang warganet.

Sekolah di seluruh negara ditutup apabila kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, memaksa pelajar melakukan pembelajaran secara dalam talian.

Bagaimanapun, di bawah PKP pemulihan (PKPP), sekolah dibenarkan untuk buka semula sejak semalam, namun hanya untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting, antaranya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Pembukaan semula sekolah untuk pelajar lain akan dilakukan secara berperingkat semasa tempoh PKPP, yang dijadulakan tamat pada 31 Ogos.

Prasekolah pula diumumkan akan mula dibuka bermula 1 Julai.

[Baca berita asal]