Kes seludup warga asing: Gerakan gesa Imigresen dirombak
Jabatan Imigresen harus dirombak susulan penangkapan sejumlah anggota jabatan itu berkaitan penyeludupan warga asing di Johor Bahru, kata Gerakan.
Presidennya Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, meskipun anggota yang disyaki terlibat akan disiasat terlebih dahulu, penangkapan itu sedikit sebanyak telah menghilangkan kepercayaan rakyat serta mencalarkan imej Jabatan Imigresen.
“Malah memandangkan pemalsuan dokumen yang dilakukan bersama sindiket penyeludupan itu adalah jenayah yang terancang dan dilakukan oleh orang yang berpengaruh.
“Kerajaan harus merombak semula jabatan terbabit untuk mengelakkan berlakunya kes yang berulang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 23 Jun lalu, polis Johor menahan tiga pegawai Jabatan Imigresen dan seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dalam dua serbuan berasingan kerana dituduh bersekongkol dalam sindiket penyeludupan warga asing.
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modus operandi mereka adalah menyediakan cap palsu Imigresen Malaysia bagi membolehkan warga Indonesia yang tamat tempoh pas lawatan sosial dapat pulang ke negara asal.
Dalam operasi sebelumnya pula, sekumpulan 18 pegawai serta anggota polis dan tentera turut ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di Johor.
Lau berkata lagi, kerajaan harus kerap membuat pemantauan terhadap jabatan-jabatan terbabit demi mengekalkan keselamatan negara.
Justeru, katanya lagi, cadangan rombakan itu dapat membantu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan terhadap kakitangan awam, dan anggota yang terlibat harus dikenakan tindakan dengan segera.
Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis dan anggotanya yang terlibat dalam penyeludupan itu akan dikenakan tindakan tegas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai