Skip to main
Logo Malaysiakini

Akta Hasutan: Rayuan Wan Ji kurangkan hukuman ditangguh ke 12 Okt

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rayuan pendakwah Wan Ji Wan Hussin untuk mengurangkan hukuman penjaranya berhubung dakwaan mengikut Akta Hasutan pada 2014 ditangguhkan ke 12 Oktober ini.

Dijadual didengar hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhan yang dibuat peguam Ramkarpal Singh hari ini.

Panel dipengerusikan hakim Yaacob Md Sam dan dianggotai hakim P Ravinthran dan Ahmad Nasfy Yasin.

Pada 12 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran pada hari ini. Ia merupakan jalan terakhir untuk Wan Ji mengurangkan hukuman penjara setahun yang dijatuhkan kepadanya.

Timbalan pendakwa raya K Mangai tidak membuat bantahan terhadap permohonan Ramkarpal.

Yaakob kemudian menetapkan 12 Oktober untuk mendengar rayuan Wan Ji, dan memberitahu pasukan pembelaan bahawa mahkamah akan mengosongkan hari tersebut bagi memberi tumpuan kepada rayuan itu.

"Perkara ini ditangguh ke 12 Oktober 2020, pukul sembilan pagi. Semua kes lain dikosongkan (pada hari itu) bagi memberi keutamaan kepada kes (rayuan Wan Ji)," kata Yaacob.

Mahkamah turut mengarahkan agar ikat jamin RM5,000 sebelum ini dilanjutkan sehingga tarikh tersebut.

Wan Ji membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai lalu, yang menambah hukuman penjara daripada sembilan bulan kepada setahun susulan sabitan ke atasnya.

Pertuduhan berkaitan satu hantaran Facebook berkenaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa ini, hukuman itu ditangguh sementara menunggu keputusan rayuannya.

Wan Ji didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Keputusan tersebut ketika itu membangkitkan semula gesaan agar pentadbiran PH memansuhkan Akta Hasutan.