Skip to main
Logo Malaysiakini

Bank Dunia: Ekonomi M'sia susut 3.1 peratus tahun ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ekonomi Malaysia diunjurkan menguncup sebanyak 3.1 peratus pada 2020 akibat kelembapan aktiviti-aktiviti ekonomi susulan pandemik Covid-19 dan dijangka kembali mencatat pertumbuhan pada 2021 pada 6.9 peratus berikutan penularan wabak yang semakin berkurangan, menurut Bank Dunia.

“Unjuran dalam jangka masa terdekat, bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pada masa ini.

“Pandemik ini, disertai dunia pekerjaan yang berubah turut meningkatkan keperluan sistem perlindungan sosial yang lebih baik di Malaysia,” kata Bank Dunia dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia yang terkini bertajuk 'Surviving the Storm.'

Katanya pelaburan agregat merosot untuk suku kelima berturut-turut sebanyak 4.6 peratus pada suku pertama 2020 berbanding penyusutan 0.7 peratus pada suku keempat 2019 dengan kemerosotan yang meluas dalam pelaburan swasta dan awam.

Menurut laporan itu, berikutan permintaan luaran yang lemah, eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia susut bagi suku ketiga berturut-turut sebanyak 7.1 peratus pada suku pertama 2020 (suku keempat 2019: -3.4 peratus), penurunan terbesar sejak krisis kewangan global pada 2009.

Penggunaan swasta adalah sederhana kepada 6.7 peratus pada suku pertama 2020, merosot daripada 8.1 peratus pada suku keempat 2019, sebahagian besarnya menggambarkan impak besar COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas perbelanjaan runcit, perjalanan, libur dan rekreasi dan penggunaan barang-barang tahan lama bagi tempoh sebelum ini.

Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia Firas Raad berkata langkah perlindungan sosial yang penting diperlukan untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang menerima perhatian untuk mengharungi badai ekonomi semasa dan menjadi lebih baik dalam realiti pasca pandemik baharu.

“Melindungi punca pendapatan adalah penting, justeru, mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan mampu untuk kembali berdikari dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya.

Laporan itu turut menyarankan usaha kerajaan dalam masa terdekat untuk memberi tumpuan kepada usaha membantu dan pemulihan dengan meningkatkan bantuan sosial kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah, menambah baik penyampaian program perlindungan sosial dan mempromosi pemulihan pekerjaan.

Berikutan pemulihan yang berterusan, pusingan pindahan tunai yang selanjutnya kekal penting untuk mengurangkan kekangan kewangan yang meruncing bagi kumpulan paling tidak mendapat perhatian di Malaysia, dan menyokong penggunaan domestik dan pembangunan modal insan semasa kelembapan ekonomi yang teruk.

Bagi jangka sederhana dan panjang, sokongan kepada golongan berpendapatan rendah boleh diperluas secara berperingkat bagi memastikan sistem sokongan sosial di Malaysia menyediakan perlindungan paling minimum kepada isi rumah dan individu yang memerlukan.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.