Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa saya tidak dapat bekerjasama dengan Muhyiddin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN l Ramai yang menasihat saya supaya sokong dan bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ingin saya jelaskan kenapa saya tidak dapat bekerjasama dengan Muhyiddin.

Dia bersama dengan saya dan beberapa kawan lain menubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khusus untuk menjatuh kerajaan kleptokrasi Najib Razak.

Rakyat percaya inilah perjuangan kami dan rakyat beri kemenangan kepada kami bersama parti rakan lain.

Tetapi Muhyiddin bersama dengan ahli Umno yang masuk Bersatu telah merancang untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan mendirikan kerajaan baru bersama dengan kleptokrat yang kami telah kalahkan.

Bagi saya ini adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat. Ia juga mengkhianati rakan dalam PH yang menjayakan perjuangan kami. Tanpa PH, Muhyiddin tidak mungkin menang, tidak mungkin jumpa pintu belakang.

Ya. Memang dalam PH ada DAP. Walaupun DAP menang 42 kerusi, DAP hanya dapat enam menteri kabinet, sama dengan Bersatu yang menang hanya 13 kerusi tetapi dapat enam menteri juga. Dan ahli Bersatu dipilih sebagai perdana menteri dalam kabinet 28 menteri.

Tak mungkin sama sekali DAP kuasai kabinet dengan enam orang menteri. Segala keputusan dalam kabinet perlu persetujuan 28 orang Menteri.

Anggapan bahawa enam menteri kabinet boleh kuasai 22 Menteri lain tidak masuk akal. Lagipun persetujuan saya sebagai perdana menteri perlu didapati.

Bukan DAP yang boleh hancur orang Melayu. Orang Melayu yang boleh hancur DAP jika Menteri Dalam Negeri Melayu hanya batal sahaja pendaftaran DAP.

Kuasa membatal ada pada Muhyiddin, jika ia nampak DAP akan hancur Melayu. Tetapi yang Muhyiddin berminat ialah mengguna DAP untuk menakut orang Melayu supaya mereka menyertai gerakan untuk menjatuhkan PH dan dia menjadi perdana menteri dengan sokongan Umno dan PAS.

Umno menyokong Muhyiddin jadi perdana menteri supaya usaha untuk melepaskan Najib dari dipenjara dapat dilakukan. Kita dapat lihat usaha ini sedang berjalan.

Jauh daripada menunaikan janji untuk menjatuhkan Najib, Muhyiddin sekarang sedang berusaha supaya Najib bebas dari segala tuduhan dan dapat bertanding dalam PRU15. Di waktu itu Najib tidak perlu Muhyiddin lagi, kerana Najib berhasrat menjadi perdana menteri.

Muhyiddin sekarang ini berusaha supaya Bersatu hilang pemimpin dengan melucut keahlian mereka.

Dalam PRU15 Umno akan lawan dengan Bersatu yang tinggal terkuntang-kanting tanpa sokongan PH. Bukan sahaja Muhyiddin yang akan kalah tetapi semua calon Bersatu akan kalah. Maka tamatlah riwayat Bersatu dan bermaharajalela Umno dengan “Cash is King”nya.

Sejarah akan catat pengkhianatan Muhyiddin kepada rakyat yang telah beri kemenangan kepada PH.

Saya tidak ingin bersama dengan Muhyiddin dan pengkhianatannya.


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri dan MP Langkawi. Tulisan ini pertama kali dimuatkan di blognya dengan tajuk ‘Nasihat”.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.