Skip to main
Logo Malaysiakini

Sidang Kemuncak Asean esok melalui sidang video

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 buat julung kalinya diadakan secara maya apabila pemimpin-pemimpin ASEAN bersidang melalui persidangan video esok bagi membincangkan isu-isu serantau dan pasca-COVID-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu akan diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menyampaikan ucapan bagi menyuarakan pendirian-pendirian Malaysia kepada rakan-rakan ASEAN.

Sidang kemuncak itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, yang juga Pengerusi ASEAN 2020.

"Saya akan bertemu perdana menteri untuk berkongsi pandangan kepada beliau berhubung perkara yang perlu dan boleh disuarakan Malaysia semasa sidang kemuncak itu nanti berdasarkan kepada input yang diperoleh dalam siri mesyuarat saya bersama menteri-menteri luar ASEAN semalam," katanya.

Dalam sidang media di Putrajaya, hari ini, Hishammuddin berkata antara agenda utama sidang kemuncak itu adalah meneliti isu serantau dan antarabangsa terutama pascapandemik COVID-19.

Mesyuarat juga akan memperincikan langkah-langkah pemulihan yang komprehensif bagi menangani impak COVID-19, yang merupakan susulan perbincangan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN Khas mengenai COVID-19 pada April lepas, katanya.

Hishammuddin berkata sidang kemuncak itu juga akan membincangkan mengenai proses serta keutamaan pembinaan Komuniti ASEAN dan pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2025.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin ASEAN juga dijangka mengesahkan dokumen bertajuk "ASEAN Leaders’ Vision Statement on a Cohesive and Responsive ASEAN: Rising above Challenges and Sustaining Growth".

Hishammuddin berkata Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin ASEAN juga akan mengambil bahagian dalam Sesi Khas Pemimpin-Pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 mengenai Pemerkasaan Wanita di Era Digital.

Selain itu, katanya tiga pertemuan juga akan diadakan dengan wakil-wakil daripada Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

Mengenai mesyuarat bersama Menteri Luar ASEAN semalam, Hishammuddin berkata pelbagai isu telah dibincangkan antaranya perihal berkaitan Laut China Selatan, perkembangan di wilayah Rakhine, Myanmar, isu Palestin, perlucutan senjata nukleur, dan usaha menangani cabaran landskap dunia baharu pascapandemik COVID-19.

Berhubung cabaran mengadakan sidang kemuncak secara maya disebabkan COVID-19, Hishammuddin berkata keadaan itu tidak dapat dielakkan dan menurutnya Sidang Kemuncak ASEAN Khas mengenai COVID-19 yang diadakan menerusi persidangan video pada April berjalan lancar.

"Kelemahannya (mesyuarat secara maya), adalah selama ini cara ASEAN berinteraksi adalah secara peribadi, bersemuka dan banyak keputusan telah dibuat di koridor, semasa minum kopi dan pada jamuan," katanya dan menurutnya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN semalam diadakan secara tidak formal, yang pada kebiasaannya dilakukan pada majlis makan malam sebelum bermulanya sidang kemuncak.

"Dunia sedang berdepan cabaran-cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini disebabkan COVID-19, bagaimanapun ia tidak menghalang ASEAN untuk terus berusaha bagi mencapai visi dan matlamat ditetapkannya," katanya.

- Bernama