Perbincangan buka sempadan dengan S'pura positif - Menteri luar
Hishammuddin Hussein memberi jaminan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura akan memberi tumpuan pada pematuhan SOP dan protokol kesihatan
Perbincangan antara Malaysia dengan Singapura mengenai pembukaan semula sempadan kedua-negara adalah positif, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.
"Saya agak positif ...tetapi sudah tentu akan ada pihak yang melihatnya secara negatif tetapi mereka tidak terlibat dalam perbincangan dan tidak tahu apa yang saya telah bincangkan dengan menteri luar Singapura," katanya.
Hishammuddin turut memberi jaminan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura akan memberi tumpuan pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.
Berdasarkan perbincangannya dengan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan, beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju tentang kepentingan SOP dan protokol kesihatan.
"Apa yang penting adalah mengambil pendekatan langkah demi langkah untuk memastikan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara berjalan lancar dan selamat dan memberi manfaat kepada kita dalam semua sektor," katanya pada sidang media di Singapura, hari ini.
Hishammuddin berkata sekiranya pembukaan semula sempadan tidak dapat dilakukan dengan jiran terdekat Malaysia, Singapura, dengan itu sukar untuk melaksanakan konsep 'green bubble' dengan negara-negara lain.
Konsep "green bubble” melibatkan langkah melonggarkan sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang mencatatkan kes penularan dan jangkitan tempatan Covid-19 yang rendah.
Sementara itu, Hishammuddin berkata mesyuarat Menteri Luar Asean semalam turut memperhalusi keberangkalian untuk membenarkan pergerakan rakyat antara dua negara dalam rantau Asean yang dikategorikan sebagai ‘hijau’ atau lebih dikenali konsep “green bubble”.
"Pergerakan rakyat antara negara penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi serantau," katanya.
Beliau berkata konsep "green bubble" mungkin akan dibangkitkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa Sidang Kemuncak Asean ke-36 esok yang akan berlangsung secara maya.
Katanya Wisma Putra sedang memikirkan kaedah terbaik mengenai pelaksanaan konsep "green bubble".
Berhubung isu pelarian Rohingya, Hishammuddin berkata isu tersebut bukan mudah untuk diselesaikan terutamanya ketika berdepan Covid-19.
Beliau berkata apa yang penting isu itu perlu dibincangkan secara rasional dan tanpa emosi, serta menyuarakan kebimbangan Malaysia di platform Asean.
Hishammuddin berkata perkembangan di wilayah Rakhine dibincangkan semasa mesyuarat Menteri Luar Asean semalam dan berharap isu itu dapat dibangkitkan pada Sidang Kemuncak Asean ke-36 esok.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai