Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Semua anggota pentadbiran mesti isytihar harta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengesahkan keputusan dibuat oleh jawatankuasa ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

"Mesyuarat ini telah mencapai beberapa keputusan penting iaitu Bersetuju meneruskan keputusan-keputusan dasar yang dicapai dalam mesyuarat JKKMAR sebelum ini," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Mesyuarat tersebut diadakan secara sidang video selaras Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Antara lain, jawatankuasa itu menegaskan kembali keputusannya untuk meningkatkan akauntabiliti dan integriti di kalangan ahli parlimen dengan mengisytiharkan aset dan hadiah yang mereka diterima.

Muhyiddin memaklumkan jawatankuasa itu telah diberi penerangan mengenai status pengisytiharan aset oleh ahli parlimen dan anggota pentadbiran, yang diwajibkan oleh kod etika mereka.

"JKKMAR hari ini turut dimaklumkan mengenai Status Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sepertimana yang dinyatakan di dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran, bahawa setiap anggota pentadbiran perlu membuat perisytiharan harta dalam tempoh 3 bulan dari tarikh mengangkat sumpah," kata Muhyiddin.

Perdana menteri yang mempengerusikan mesyuarat hari ini berkata JKKMAR juga bersetuju mengikuti syor-syor lain di dalam mesyuarat terdahulu.

Ini juga termasuk melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) di semua kementerian serta sektor awam untuk kawalan pencegahan rasuah yang efektif.

JKKMAR dan jawatankuasa antirasuah kebangsaan dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan kerap.

Muhyiddin menjelaskan kerajaan juga akan meneruskan usaha untuk memperbaiki pengurusan dan integriti melalui Pelan Nasional Antirasuah 2019-2023.

Pada bulan Mac, kurang sebulan setelah PN mengambil alih pentadbiran daripada PH, Muhyiddin telah mengarahkan semua menteri dan timbalan menteri untuk mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM dalam masa sebulan.

Ini dipersetujui oleh parti gabungannya, PAS yang pernah menentang langkah meminta anggota parlimen mengisytiharkan aset mereka semasa pentadbiran PH.

Di bawah kerajaan PH, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan ahli parlimen untuk menyatakan aset mereka dalam masa tiga bulan setelah mereka dilantik.

Ahli parlimen pembangkang ketika itu menentang keras keperluan mereka mengisytiharkan aset.