Skip to main
Logo Malaysiakini

Pusat urut, spa dibenarkan kembali dibuka 1 Julai

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pusat urut dan spa dibenarkan membuka semula operasi mereka bermula 1 Julai depan, manakala kegiatan mencuba pakaian di pusat membeli-belah juga kini dibenarkan.

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Ismail berkata mesyuarat khas menteri berkenaan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini setuju untuk membenarkan konvensyen serta pameran pelancongan dan perdagangan kembali diadakan.

"Bagi menggalakkan industri pelancongan domestik, mesyuarat hari ini bersetuju dengan permohonan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi pembukaan semula subsektor pelancongan bermula 1 Julai," katanya.

"(Iaitu) mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran; pameran pelancongan dan perdagangan; dan perkhidmatan spa, urut kaki dan wellness," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, syarat yang ketat dikenakan untuk pusat urut kaki, spa dan wellness.

Antaranya pusat tersebut perlu berdaftar dengan pihak berkuasa, manakala bagi pusat urut hanya pekerja tempatan yang dibenarkan.

Menurut Ismail, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kesukaran yang dihadapi mereka dalam sektor itu, termasuk rayuan yang disuarakan pengusaha refleksologi dan urut orang kurang upaya sebelum ini.

Katanya, mereka telah hilang punca pendapatan sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

"Melihat keadaan semasa, di mana bilangan kes positif Covid-19 sudah berkurang, dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, kita setuju untuk membenarkan mereka beroperasi," katanya.

Dalam pada itu, pekerja di pusat tersebut perlu memakai pelitup muka dan menyediakn pensanitasi tangan untuk pelanggan.

Peraturan asas pencegahan Covid-19 lain seperti pemeriksaan suhu badan, pendaftaran pelanggan dan penjarakkan sosial turut terpakai.

Bagi sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran, Ismail berkata penganjur perlu menghadkan jumlah peserta kepada 250 orang pada satu masa.