M'sia perlu tumpu pertanian berasaskan makanan - Perangkaan
Gangguan penawaran dan permintaan global pada masa kini memberi peluang kepada Malaysia untuk lebih menumpukan produk pertanian berasaskan makanan seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan dan tenusu yang sebahagian besarnya diimport, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Ini berikutan negara-negara maju yang juga pengeluar utama produk makanan tersebut, turut membuat pelaburan tinggi dalam teknologi serta modal insan untuk meningkatkan keperluan negara seterusnya bagi perdagangan dengan seluruh dunia.
“Negara-negara tersebut telah lama membuat inovasi ke arah pertanian moden yang memberi hasil tinggi dengan menggalakkkan golongan muda mereka menceburi keusahawan berasaskan pertanian,” katanya dalam laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2020 yang dikeluarkan hari ini.
Menurut jabatan itu, hanya dengan mempunyai bakat berkualiti tinggi terutamanya dalam kalangan siswazah muda, Malaysia boleh mengguna pakai model ini untuk meneroka peluang memodenisasikan sektor pertanian dengan sokongan sektor swasta dan awam.
Malah, sektor pertanian pernah menjadi salah satu tunggak ekonomi terpenting dalam tempoh pasca merdeka sehingga tahun 1970-an.
Bagaimana pun, katanya, pelbagai campur tangan dasar untuk mempromosikan pulangan pelaburan yang lebih tinggi menyaksikan sektor pembuatan muncul sebagai pemacu diikuti oleh perkhidmatan.
“Ketika pertanian bukan lagi menjadi sektor utama negara, produk pertanian berasaskan makanan mulai berkurangan dan kebergantungan import bagi produk ini mula meningkat.
“Dalam pada itu, komoditi mampan iaitu kelapa sawit dan getah telah diberi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, pada sesi sidang media secara maya, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sudah sampai masanya untuk Malaysia menjajarkan semula tumpuan bagi merangsangkan pelaburan domestik dengan mengalakkan perniagaan tempatan melabur dalam industri berpotensi tinggi.
Ini seperti penjagaan kesihatan, bekalan perubatan dan farmaseutikal, selain industri berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai