Skip to main
Logo Malaysiakini

3 ahli Bank Rakyat mohon semakan kehakiman halang campur tangan k'jaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga ahli dan pemegang saham Bank Rakyat memfailkan permohonan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi menghalang campur tangan kerajaan dalam pengurusan bank berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam satu kenyataan hari ini.

Haniff berkata pihaknya telah memfailkan permohonan itu secara dalam talian petang ini kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak Abdul Aziz Zainal, Mustafha Abd Razak dan Rahim Yunus.

Beliau berkata permohonan semakan itu bagi mendapatkan pengisytiharan oleh mahkamah bahawa Akta Bank Rakyat (Peruntukan Khas) 1978 [Akta 202] adalah merupakan undang- undang yang bersifat sementara waktu.

"Pemfailan permohonan ini adalah susulan dari keputusan Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada ketika itu, yang menolak permohonan ahli Bank Rakyat untuk memansuhkan Akta 202 dan keputusan Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang menolak permohonan ahli Bank Rakyat untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas bagi membentangkan usul untuk menamatkan perjalanan kuatkuasa Akta 202," jelasnya.

Mereka menamakan Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Kewangan Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mohd Redzuan merupakan menteri pembangunan usahawan dan koperasi sebelum dilantik sebagai menteri di jabatan perdana menteri (Tugas-tugas khas) apabila kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih kuasa.

Menurut Haniff, ketiga-tiga pemohon merupakan ahli-ahli Jawatankuasa Sementara Permohonan Memansuhkan Akta Bank Rakyat (Jawatankuasa Protem) yang didakwa mewakili lebih 900,000 ahli Bank Rakyat.

Abdul Aziz sebelum ini merupakan pengerusi Bank Rakyat, sementara Mustafha adalah bekas pengarah urusan dan Rahim merupakan bekas pengurus besar bank berkenaan.

Haniff berkata ketiga-tiga mereka meminta pengisytiharan bahawa Seksyen 31 Akta 202 memperuntukkan kuasa bagi menteri untuk mengisytiharkan bahawa Akta 202 adalah terhenti berkuatkuasa.

Mereka juga meminta perintah certiorari untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh Redzuan pada 12 April dan 23 Ogos tahun lalu yang menolak permohonan dan rayuan pemohon agar Akta 202 dimansuhkan.

Perintah certiorari kedua adalah untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah Bank Rakyat bertarikh 4 Mei lalu yang menolak permintaan pemohon untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas bagi membentangkan usul bagi menamatkan Akta 202.

Selain itu mereka turut memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Redzuan melaksanakan kuasa dan budibicaranya di bawah Seksyen 31 Akta 202 untuk menamatkan kuatkuasa Akta 202.

Menurut Haniff, pemohon menegaskan bahawa pinjaman yang diberikan oleh kerajaan kepada Bank Rakyat telah dibayar sepenuhnya hampir 20 tahun lalu dan kini pengurusan bank itu sudah utuh tanpa campur tangan kerajaan.

"Oleh yang demikian, pemohon-pemohon percaya telah tiba masanya pengurusan Bank Rakyat dikembalikan kepada ahli-ahli Bank Rakyat sendiri untuk diuruskan tanpa campurtangan pihak kerajaan sepertimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada masa itu, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Akta 202," kata Haniff.

Bank Rakyat kini berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang diketuai oleh menterinya, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.