Skip to main
Logo Malaysiakini

Perangi rasuah untuk perbaiki laporan pemerdagangan manusia, kata NGO

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sekiranya Malaysia ingin memperbaiki kedudukan dalam laporan pemerdagangan manusia yang dikeluarkan Amerika Syarikat, negara ini perlu menentang rasuah bagi memerangi pemerdagangan manusia, kata NGO hak-hak migran, Tenaganita.

Tenaganita berkata demikian susulan Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 25 Jun lalu, yang menunjukkan Malaysia berada dalam senarai Pemerhatian Tahap 2.

"Langkah paling segera adalah untuk Malaysia memiliki kegigihan melawan korupsi.

"Sekiranya ini gagal, kita akan berada di kedudukan yang sama atau bahkan di Tahap 3 tahun depan.

"Banyak usaha dan inisiatif kita dalam beberapa tahun terakhir ini untuk memerangi pemerdagangan manusia telah gagal hanya kerana korupsi yang  tertanam dalam semua sistem kita.

"Malaysia terus menjadi pusat pemerdagangan manusia kerana sebab itu, jadi ada keperluan bagi semua orang bersama-sama memerangi rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata pengarah eksekutif Tenaganita, Glorene Das dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga perlu memperkuatkan kecekapan para pendakwa dan pegawai penguat kuasa serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kes dan pendakwaan kes pemerdagangan manusia.

Ini dapat dilakukan dengan menubuhkan jawatankuasa penyemak dalam Majlis Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Pendatang (Mapo) untuk meninjau pengendalian semua kes pemerdagangan manusia.

"Ini sangat penting untuk menuju ke arah yang betul kerana ketelusan sangat penting terutama di mana pelaku di negara ini bekerjasama secara tersembunyi dengan pemerdagangan manusia," kata Glorene.

Beliau berkata, Mapo berusaha keras untuk membawa perubahan dengan menyusun Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Manusia.

Bagaimanapun, katanya sudah tiba masanya pelbagai kementerian dan pihak berkuasa mendengar pendapat mangsa, masyarakat sivil dan NGO.

"Kita tidak boleh hanya membicarakan pendekatan yang berkisar kepada mangsa tanpa meletakkan keperluan mangsa atau mereka yang terselamat di tengah perbincangan, perbahasan dan tindakan.

"Melainkan pemain-pemain utama yang berbeza dalam kerajaan bersedia untuk mendengar, duduk bersama, berdebat dan mengubah gaya kerja, kita akan terus berada di senarai perhatian Tahap 2 dan 3," katanya.

[Baca berita penuh]