Skip to main
Logo Malaysiakini

Petronas teroka teknologi pertanian berasaskan robotik, AI

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) membuat pelaburan modal teroka pertamanya di Malaysia menerusi satu perjanjian untuk melabur dalam syarikat pemula niaga teknologi pertanian, Braintree Technologies Sdn Bhd.

Perjanjian itu, yang dimeterai oleh cabang modal teroka korporatnya Petronas Ventures, dijangka diselesaikan awal bulan depan, menurut syarikat minyak negara itu dalam kenyataan hari ini.

Braintree Technologies membangunkan peranti robotik dan perisian proprietari yang dapat menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi pertanian, selain menukar tanah pertanian yang tidak diusahakan atau tidak menjana hasil kepada kawasan tanaman bernilai tinggi.

Ketua Petronas Ventures, Mohd Azli Ishak berkata pelaburan itu bertujuan mencari teknologi cemerlang yang boleh menyokong pertumbuhan Petronas melangkaui perniagaan minyak dan gas.

"Kami yakin pelaburan dalam Braintree Technologies akan mewujudkan ekosistem yang baik bagi model perniagaan perladangan pintar menerusi langkah memanfaatkan pengetahuan kukuh Petronas dalam penggunaan urea dan baja, serta kecerdasan pintar dan teknologi robotik Braintree Technologies,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Braintree Technologies, Arif Makhdzir berkata perladangan pintar boleh meningkatkan pengeluaran ladang dan hasil serta taraf hidup petani.

"Menerusi gabungan kepakaran teknikal kami dalam pembangunan perisian dan pengetahuan pertanian, kami berharap dapat memacu perubahan bagi Malaysia dalam industri utama ini,” katanya.

- Bernama