Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Bangi persoal rencana k'jaan buka sempadan dengan Indonesia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mempersoalkan sama ada Indonesia sudah berjaya melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 atau tidak, susulan keputusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan pelaksanaan "gelembung perjalanan" dengan Indonesia.

Istilah "gelembung perjalanan" atau "travel bubble" merujuk kepada persetujuan antara negara yang berjaya mengekang penularan Covid-19 untuk membuka semula sempadan bagi membolehkan perjalanan antara rentas negara.

"Gelembung perjalanan dengan Indonesia? Adakah mereka sudah melandaikan lekuk jangkitan mereka?" soal Ong dalam ciapan di Twitter hari ini.

Ong mengulang ciap kiriman di Twitter oleh Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein yang berkata Muhyiddin, presiden Indonesia Joko Widodo dan Sultan Brunei Hassanal Bolkiah telah mencapai kesepakatan untuk bekerjasama bagi "gelembung perjalanan" di Asean.

Susulan itu, dalam ciapan balas berasingan, Hishammuddin berkata perkara itu belum dimuktamadkan.

Jelas Hishammuddin, SOP bersesuaian akan mengambil masa untuk diputuskan, justeru, katanya, adalah penting untuk membuat perancangan awal.

Sebelum ini dilaporkan bahwa Muhyiddin berkata kerajaan negara Asean harus mewujudkan rencana yang padu untuk segera menerapkan langkah-langkah untuk "gelembung perjalanan" antara negara-negara anggota yang dalam status "hijau".

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata Malaysia sedang mencari kemungkinan mengadakan “gelembung perjalanan” dengan Singapura, Brunei, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, dengan syarat prosedur operasi standard yang sama dapat disepakati secara dua hala.

Untuk rekod, ketika ini, Indonesia terus mencatat jumlah kes Covid-19 yang tinggi, dengan 1,240 kes baru semalam.

Sehingga 26 Jun, jumlah jangkitan di Indonesia adalah 51,427 dan jumlah kematian adalah 2,683.

Sementara di Malaysia, setakat tengah hari semalam, hanya enam kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,231 kes dengan 121 kematian.