Skip to main
Logo Malaysiakini

KITASAMA mahu beri input positif dalam menjalani norma baru

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kehidupan norma baru ekoran penularan wabak Covid-19 yang membawa kepada perintah berkurung pastinya memberi kesan kepada semua orang.

Istilah 'norma baru' mula disebut-sebut sebagai gaya hidup di tengah-tengah virus yang tidak dapat dilihat itu, sekurang-kurangnya selagi vaksin untuk menanganinya belum ditemui.

Di Malaysia, ia dikenali sebagai perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac. Ramai orang yang berusaha untuk menyesuaikan diri dalam keadaan itu.

Oleh itu, pelajar akhir jurusan perhubungan awam dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah menjalankan projek kempen digital “KITASAMA” menerusi Instagram bagi menyebarkan input positif kepada orang ramai.

Menurut Ketua Projeknya Saiful Azwan Mohd Razis, KITASAMA mula dibincangkan pada hujung Mac lalu, sejurus selepas kerajaan melaksanakan PKP, dengan hantaran pertama pada 20 Mei.

“Timbulnya idea untuk projek ini kerana sebahagian majoriti masyarakat yang risau, panik dalam menjalani norma baharu semasa PKP berlangsung.

“Jadi kami mewakili golongan pelajar universiti memulakan kempen digital ini sebagai satu inisiatif dalam menyebarkan perkara-perkara positif,” katanya kepada Malaysiakini.

Saiful berkata, antara kandungan kempen tersebut ialah ceramah yang disiarkan secara langsung di Instagram, pertandingan memasak atas talian dan pelbagai lagi untuk menarik minat dan mengisi masa warga maya.

“Keseluruhan kandungan projek ini berlangsung secara atas talian dan melibatkan kandungan interaktif yang memerlukan penglibatan pengikut dan penonton.

“Sebagai contoh, pertandingan memasak atas talian pada Ramadan lalu mendapat sambutan yang meriah selepas dihebahkan melalui laman rasmi Instagram kempen ini.

“Selain itu, terdapat juga kandungan seperti video pesanan khidmat masyarakat dan perkongsian interaktif positiviti secara harian,” katanya lagi.

Katanya lagi, pemilihan nama KITASAMA adalah bagi menggambarkan perpaduan dan kesatuan semua pihak yang terkesan sepanjang wabak Covid-19.

Projek itu akan berakhir pada Julai ini.

Saiful berharap sepanjang mereka melaksanakannya, pasukannya berjaya sedikit sebanyak memberi kesedaran positif kepada orang ramai.

“Melalui KITASAMA, kita harap dapat membantu masyarakat menjalani kehidupan norma baru ini dengan positif, selain memainkan peranan memenuhi tanggungjawab sosial bagi terus mengekang wabak ini," katanya lagi.