Skip to main
Logo Malaysiakini

Culik Datuk Seri: Polis buru 'El'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes culik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemukan di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Sheikh Ismail Sheikh Hassan atau nama gelarannya ‘El’, berusia 26 tahun dan alamat terakhir di Bukit Beruntung MK Land, Rawang.

“Polis ingin meminta bantuan orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai individu yang dikehendaki ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dan seorang individu bergelar Datuk pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan berkaitan kes culik ahli perniagaan berusia 55 tahun itu.

Menurutnya kesemua suspek berusia 20 hingga 56 tahun itu direman antara lima dan tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Jelas Fadzil (gambar, atas) lagi proses bedah siasat masih diteruskan dan akan bersambung pada 2 Julai nanti bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Mayat ahli perniagaan itu ditemukan kira-kira pukul 9.00 pagi semalam susulan penangkapan beberapa suspek kes berkenaan.

Siasatan polis mendapati salah seorang suspek telah membuat panggilan dan meminta wang tebusan S$50 juta (Singapore dollar) daripada keluarga mangsa namun tiada pembayaran dibuat.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada 10.30 pagi, 10 Jun lepas.

- Bernama