Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafie calon PM: Cadangan Dr M hanya keruhkan hubungan PH - penganalisis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Usaha Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri PH dilihat sukar untuk berjaya, tetapi lebih berkemungkinan untuk mengeruhkan lagi hubungan dalam gabungan itu.

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata cadangan itu, selain menjadi alternatif kepada kebuntuan antara Mahathir dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, juga untuk mendapat sokongan blok Malaysia Timur, tetapi kata putusnya tetap terletak di tangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Sama ada Mahathir, Anwar atau Shafie, penentunya bukan mereka, tetapi blok terakhir yang boleh mengubah keadaan, kemungkinan besar GPS,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, kemungkinan untuk GPS mengubah sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada PH Plus dilihat kecil, meskipun dengan Shafie sebagai calon perdana menteri.

“Persoalan sebenar adalah apa yang PH Plus boleh beri kepada GPS yang tidak boleh diberi PN? Lebih banyak jawatan menteri? PH Sarawak tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri?

“Satu hal yang menyulitkan PH Plus adalah mereka tidak boleh tawarkan kedudukan timbalan perdana menteri kepada Sarawak kerana ia akan membuatkan Fadillah Yusof, anggota parlimen GPS paling kanan, lebih tinggi dari ketuanya (Ketua Menteri Sarawak) Abang Johari Openg,” kata Wong.

Wong Chin Huat

Tanpa sokongan GPS, kata Wong, kedudukan sebagai calon perdana menteri tidak membawa apa-apa makna.

Dengan Shafie sebagai perdana menteri, Sabah dan Sarawak boleh mengangkat lagi kepentingan bersama mereka berhubung Perjanjian Malaysia 1963, tetapi ia masih meletakkan GPS di belakang parti lain dalam PH Plus, termasuk DAP.

Penganalisis dari Sarawak Jeniri Amir pula berkata GPS tidak mungkin akan bekerjasama dengan PH selagi DAP masih berada dalam gabungan tersebut.

“(Pencalonan Shafie) satu propaganda, percubaan dari (Mahathir) untuk tarik ahli politik dari Sabah dan Sarawak.

“Adakah anda fikir ahli politik di sini akan terkesan dengan sentimen seperti ini? Saya tidak rasa GPS akan mudah terpengaruh.

“Selagi DAP bersama dalam gabungan, saya tidak rasa GPS akan menyokong mereka (PH Plus),” kata Jeniri kepada Malaysiakini.

GPS mempunyai 18 kerusi Parlimen dan boleh dikira sebagai ‘penentu' memandangkan kerajaan PN hanya memiliki majoriti tiga ahli Parlimen.

PKR juga dilihat sukar untuk menerima Shafie sebagai calon perdana menteri.

Di sebalik pergelutan Anwar untuk mengumpul sokongan yang cukup di Dewan Rakyat, terutama dari Malaysia timur, parti itu tetap dengan pendiriannya untuk hanya menerima Anwar sebagai calon perdana menteri.

“Bagi Anwar, suatu yang memalukan buatnya jika dia menerima cadangan itu. Saya juga tidak rasa penyokongnya akan setuju.

“Dia dalam dilema, satu situasi 'catch-22," katanya lagi.

Semalam, Mahathir mengumumkan bahawa cadangan Shafie sebagai calon perdana menteri PH Plus telah mendapat sokongan dari DAP, Amanah dan Warisan.

Bagaimanapun, sejurus selepas kenyataan itu, DAP dan Amanah dalam kenyataan bersama menjelaskan cadangan tersebut masih perlu dibincangkan di peringkat parti dan PH.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Rusdi Omar berkata cadangan itu seharusnya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat bersama PH Plus sebulum Mahathir membuat pengumuman.

“Tun (Mahathir) tak boleh nak guna kuasa veto untuk buat keputusan….Jadi langkah Tun buat keputusan ikut cara dia bagi saya kurang bijak kerana ia mengeruhkan lagi hubungannya dengan PH,” katanya.

Dengan pengumuman tersebut serta penangguhannya untuk peralihan kuasa semasa PH masih berkuasa, tampaknya bekas perdana menteri itu memang enggan Anwar menjadi perdana menteri, katanya lagi.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Jayum Jawan Empaling turut setuju dengan tanggapan itu, dan menambah PKR telah mengambil pengajaran daripadanya.

“Keputusan PKR untuk bertegas hendakkan Anwar itu dan tidak berikan Mahathir memegang jawatan selama enam bulan adalah tepat kerana PKR juga belajar dari kesilapan dan kalau (Mahathir) diberi maa enam bulan, mungkin perkara sama akan berulang," katanya lagi.

“Cadangan Tun ini memang tidak wajar dan seakan-akan nak melaga-lagakan gabungan pakatan dalam PH sahaja,” katanya lagi.

Warisan hanya mempunyai sembilan anggota parlimen di Dewan Rakyat, yang menurut Jayum akan menjadikan Shafie sebagai "pemimpin minoriti" jika beliau menjadi perdana menteri.

Katanya, parti lebih besar dalam gabungan pemerintah mungkin tidak akan berdiam dan mengambil arahan daripada pemimpin minoriti, sepertimana Muhyiddin pada masa ini.

"Misalnya sekarang kerajaan PN di bawah kepimpinan Muhyiddin, yang dilihat terpaksa mendengar kata-kata Umno kerana parti itu menyumbang lebih banyak dalam gabungan PN.

"Pemimpin minoriti adalah hal yang tidak munasabah. Walaupun saya dari Sabah dan Sarawak dan patut bangga, tetapi saya tidak merasakannya kerana ia tiada apa-apa asas," katanya lagi.