Skip to main
Logo Malaysiakini

Tok Pa: Lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai dijangka siap 2024

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai sejauh 74 kilometer dijangka siap sepenuhnya pada 2024, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Menurutnya, setakat ini beberapa fasa sudah siap sebanyak 50 peratus dan bakinya akan disiapkan sepenuhnya dalam tempoh empat tahun lagi.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata projek lebuh raya Kuala Krai ke Gua Musang dan seterusnya ke sempadan Pahang turut dibincangkan dan semuanya berjalan lancar namun masih tertumpu kepada isu peruntukan.

Katanya, seperti kebiasaan, Kelantan akan memohon peruntukan disediakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membolehkan cita-cita rakyat Kelantan untuk mempunyai lebuh raya tercapai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, petang tadi.

Projek terminal baru lapangan terbang 

Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata beliau juga diberi taklimat cadangan bagaimana boleh melancarkan pembangunan di Kelantan terutama berkaitan perbelanjaan penyelenggaraan jalan.

"JKR Kelantan berpandangan banyak jalan-jalan perlu diselenggara lebih baik dan sudah pastinya diberi tambahan peruntukan.

“Satu lagi cadangan ialah mengenai mewujudkan semula Jawatankuasa Tender di peringkat negeri melibatkan projek di bawah RM20 juta yang sekarang ini sudah tiada. 

"Saya difahamkan jawatankuasa ini boleh mempercepatkan lagi pertimbangan ke atas beberapa projek di negeri ini," katanya.

Mengulas projek pembangunan terminal baru Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sudah lama diuar-uarkan, Mustapa berkata beliau difahamkan perbincangan sudah di peringkat akhir dan keputusan mengenainya mungkin akan dibuat tidak lama lagi.

- Bernama