Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas kebakaran di HSA, TMJ dakwa k'jaan Johor dianaktirikan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ekoran insiden kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) petang semalam, Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Putrajaya mengabaikan pembangunan di negeri itu.

Tunku Ismail berkata sudah empat tahun Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Pemaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan beliau sendiri menyuarakan keperluan membina hospital yang baru serta menaik taraf hospital yang sedia ada di negeri itu.

"Sampai bila negeri Johor dan anak-anak Johor dianaktirikan?

"Kita bukan sahaja boleh melihat daripada sudut keperluan hospital, tetapi lihat pada keadaan lebuh raya di sini sahaja kita sudah tahu negeri Johor dianaktirikan.

"Bayangkan, negeri Johor yang maju, yang banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan Kerajaan Persekutuan hanya ada dua ‘lane’ sahaja di lebuh raya berbanding dengan Melaka dan Negeri Sembilan yang tidak menyumbang seberapa banyak.

"Saya menyeru kepada kerajaan Malaysia agar mempercepatkan peningkatan kemudahan awam di negeri Johor demi rakyat," katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya, semalam.

Sebelum ini, pada Oktober 2016, kebakaran berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan meragut enam nyawa.

Anggota keluarga mangsa mengemukakan tuntutan mahkamah kepada HSA, dengan mendakwa keselamatan pesakit diabaikan.

Pada September 2017 pula, sebuah alat 'machine sealer' di Bilik Packing Dewan Bedah HSA terbakar, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.

HSA baru-baru ini menjadi berita utama setelah ketua editor berita portal kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn, dilaporkan disiasat untuk siri artikelnya mengenai kebakaran 2016 di hospital itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk menjalankan siasatan mengenai kebakaran tersebut.

Jelas Noor Hisham, Jawatankuasa ini juga diberi kepercayaan untuk memastikan tiada gangguan terhadap perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh HSA.

"Walaupun setelah sekian lama menghadapi pelbagai cabaran, petugas kesihatan di lapangan tetap berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik demi rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Noor Hisham berkata bahawa beliau dan rakannya, Dr Chen Chaw Min diberi taklimat oleh pengarah HSA Dr Mohtar Pungut @Ahmad semasa lawatan mereka di hospital.

"Seramai 24 orang pesakit dari wad tersebut selamat dipindahkan ke bangunan yang berdekatan. Beberapa orang pesakit dari wad yang berdekatan juga dipindahkan untuk tujuan keselamatan.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan kepada pesakit dan anggota dilaporkan dari insiden tersebut," katanya.

Noor Hisham meminta pelbagai kementerian dan agensi untuk bekerjasama membangunkan HSA buat jangka panjang dan jangka pendek.