Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendengaran permohonan Najib singkir Sri Ram dalam kes 1MDB ditangguh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak telah memfailkan afidavit oleh bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali bagi menyokong permohonannya untuk menyingkirkan Gopal Sri Ram daripada menjadi pendakwa dalam kes berkaitan 1MDB yang dihadapinya.

Pemfailan itu menyebabkan pendengaran penyingkiran itu, yang dijadual hari ini, ditangguh ke 13 Julai.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes semakan kehakiman Najib bagi menyingkirkan Sri Ram, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, daripada pendakwaan.

Hakim Mariana Yahya menangguhkan pendengaran hari ini bagi membolehkan Pejabat Peguam Negara membuat persediaan, susulan pemfailan afidavit Apandi itu.

Pada 14 Jun lalu, pasukan pembelaan Najib dilaporkan turut memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan dalam kes pinda laporan audit 1MDB terhadap Najib.

Permohonan itu disokong oleh afidavit Apandi.

Dalam afidavit itu, Apandi mengulang dakwaan yang dibuatnya di media sosial, bahawa pada Januari 2018 Sri Ram cuba memujuknya untuk mengarahkan penangkapan Najib yang ketika itu masih perdana menteri.

Apandi mendakwa Sri Ram berbuat demikian atas arahan Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada mulanya dijadual untuk mendengar satu lagi permohonan Najib untuk menyingkirkan Sri Ram daripada perbicaraan berkaitan 1MDB terhadapnya, seperti kes pinda laporan audit dan perbicaraan melibatkan dana RM2.28 bilion.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menangguh perbicaraan sementara menunggu keputusan permohonan penyingkiran Sri Ram.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan memberi kebenaran terhadap Najib untuk meneruskan permohonan itu. Keputusan itu juga ditegakkan oleh Mahkamah Persekutuan, yang mengembalikan perkara itu ke Mahkamah Tinggi.

Shafee berkata lagi, penangguhan hari ini bagi memberi masa kepada responden untuk menjawab afidavit tersebut.

Responden dalam semakan kehakiman Najib adalah kerajaan Malaysia, peguam negara (tidak dinamakan)/pendakwaan, dan Sri Ram.

"Susulan daripada pendedahan Apandil berkenaan (dakwaan) apa yang dilakukan Sri Ram di rumahnya, ada afidavit yang difailkan. Kita mahu gunakan afidavit itu dalam kes ini.

"Kita telah beri notis yang kita mahu gunakannya dalam kes ini," katanya sambil mendambah, salinan afidavit akan diserahkan kepada responden.

Katanya lagi, penangguhan itu juga bagi memberi masa kepada Sri Ram memfailkan afidavit balas berhubung dakwaan Apandi.

Dalam pada itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan afidavit yang difailkan Najib adalah afidavit sama yang dibuat Apandi.

[Baca berita asal]