Skip to main
Logo Malaysiakini

Usaha mencari dan menyelamat 4 lagi pemancing hilang diteruskan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Usaha mencari dan menyelamat empat lagi pemancing yang hilang dalam tragedi bot terbalik akibat dipukul ribut malam tadi, diteruskan pagi ini yang lebih tertumpu di sekitar kejadian iaitu 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin di Bachok, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohamad Piah berkata sejak dilaporkan mengenai kejadian itu pada 8 malam tadi, usaha mencari dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dibantu nelayan tempatan.

“Usaha mencari tetap diteruskan malam tadi oleh APMM kerana ia mempunyai aset yang berkeupayaan bergerak pada waktu malam.

“Agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan membantu bermula pagi ini,” katanya kepada pemberita.

Abdullah berkata ia membabitkan seramai lapan pegawai dan 25 anggota APPM sejak malam tadi.

Dalam kejadian itu empat daripada mereka ditemukan lemas, empat lagi masih hilang manakala 12 pemancing lagi disahkan selamat yang kesemua mereka berusia 18 sehingga 60 tahun.

Mereka yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.

Empat yang masih hilang adalah Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an, Syafiq Abdul Halim, 30 dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Abdullah berkata bot nelayan yang dinaiki pemancing itu dilaporkan telah dibadai ribut dan ombak kuat menyebabkan tali sauh terputus dan bot tersebut terbalik menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke dalam laut.

- Bernama