Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbicaraan rasuah Tengku Adnan: Pembelaan tutup kes

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pihak pembelaan dalam perbicaraan Tengku Adnan Tengku Mansor yang berdepan pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, menutup kesnya, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 11 September depan untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan sama ada bekas setiausaha agung Umno dan juga bekas menteri wilayah persekutuan itu akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Hakim itu juga memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengemukakan hujahan bertulis mereka pada atau sebelum 14 Ogos dan pihak-pihak perlu memfailkan hujahan balasan pada atau sebelum 4 Sept ini.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kes selepas saksi pembelaan keempat, Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Zakaria Dullah selesai memberi keterangan.

Tengku Adnan, 69, yang lebih dikenali sebagai "Ku Nan" selesai memberi keterangan bela diri pada 5 Mac lepas, selepas memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya pada 17 Jan.

Pada peringkat pendakwaan pula, seramai 23 saksi termasuk bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Ahmad Phesal Talib dan Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta pengarah urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Chai Kin Kong dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 2 Julai tahun lalu.

Pada 14 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.