Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pelampung pukat selamatkan kami'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dalam keadaan gentir, dua mangsa tragedi bot terbalik di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok, jam 8.30 malam tadi, bernasib baik apabila sempat berpaut pada pelampung pukat untuk menyelamatkan diri.

Mangsa Muhammad Faris Ramli, 22, berkata dia dan seorang lagi mangsa, Harif Mat Yassin, 50, diselamatkan oleh pelampung pukat yang sempat dicapai dalam keadaan kelam-kabut itu.

Menceritakan detik-detik cemas dihadapi katanya, kejadian berlaku dengan pantas dan mengejut apabila cuaca bertukar buruk.

Muhammad Faris berkata, mereka diberitahu tekong kapal bahawa tali sauh terputus, sebelum terus diarahkan untuk masuk ke bahagian dalam kapal.

"Ketika itu, semua berdiam diri dan bertawakal kerana sudah merasakan ombak yang besar sehingga mengegarkan bot. Lepas itu ombak kuat menghempas dan kapal mula terbalik. Dalam keadaan yang gelap kami semua bergelimpangan dan saya hampir lemas di dalam laut.

"Nasib baik saya sempat mencapai pelampung pukat dan turut menarik tangan Harif yang minta saya membantunya. Kemudian suruh dia berpaut pada kapal yang separuh tenggelam kerana bimbang pelampung tidak mampu menampung beban kami berdua.

"Hampir sejam kami di tengah lautan menunggu bantuan dan saya hanya terfikir bahawa saya akan mati dengan cara begini. Saat itu, hanya dua orang yang saya nampak iaitu Harif dan rakan saya, Ahmad Roslan Musa, 31, yang turut berpaut pada kapal," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang To'la, Pasir Mas, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian itu empat daripada mereka ditemukan lemas, empat lagi masih hilang manakala 12 pemancing lagi disahkan selamat yang kesemua mereka berusia 18 sehingga 60 tahun.

Mereka yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.

Empat yang masih hilang adalah Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an, Syafiq Abdul Halim, 30 dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Sementara itu Muhammad Faris berkata, dia pertama kali menyertai rombongan sedemikan untuk mencandat sotong dan kejadian itu menyebabkannya serik untuk sertai lagi.

Katanya, sepupunya Amir Syazwan Adnan, 21, juga terselamat namun masih resah menunggu khabar berita keadaan bapa saudaranya, Harun Daud, 60, yang juga salah seorang masih yang masih belum ditemui.

"Ia tragedi yang tidak saya lupakan buat seumur hidup. Dalam suasana yang gelap, saya hanya mampu menjerit meminta tolong walaupun dalam keadaan lemah selain beberapa kali menyeru nama sepupu dan bapa saudara, sebelum diselamatkan bot nelayan.

"Tragedi ini benar-benar membuatkan saya takut untuk pergi mencandat lagi, bagaimana pun saya berdoa agar empat lagi rakan yang hilang segera ditemui termasuk bapa saudara saya," katanya.