Kes Adib: Siasatan selesai dalam masa terdekat - polis
Polis sudah hampir menyelesaikan siasatan terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata demikian ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.
"Kita akan ambil tindakan sepertimana arahan pendakwa raya. Dalam tempoh terdekat, kita akan dapat selesaikan (kertas siasatan) seperti yang diarahkan.
"Kita akan hantar (kertas siasatan) dan bincang dengan peguam negara," katanya.
Tanpa mengulas lanjut berkenaan siasatan tersebut, Huzir berkata tumpuan polis pada masa ini adalah untuk melengkapkan siasatan dalam masa terdekat.
Pada 21 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memberitahu bahawa siasatan berkara perkara itu sedang dijalankan.
"...Pihak polis perlu dan sedang menjalankan siasatan untuk kenal pasti pelaku. Itu yang sudah dilaporkan kepada kabinet. Jadi kerajaan atau pihak Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan hasil daripada siasatan pihak polis, kita tunggulah.
"Untuk kes jenayah tidak ada tempoh. Selagi kes berjalan boleh didakwa apabila mendapati cukup bukti," katanya.
Adib meninggal dunia pada 17 Disember lalu ketika menjalani rawatan di Institut Jantung Negara, susulan cedera parah dalam rusuhan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, kira-kira sebulan sebelumnya.
Pada September lalu, koroner Rofiah Mohamad memutuskan kematian Adib adalah perbuatan jenayah yang dilakukan dua atau tiga individu tidak dikenali ketika rusuhan itu.
Berhubung siasatan terhadap Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengikut Akta Hasutan 1948, Huzir berkata polis akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.
"Dia telah beri keterangan. Kami akan hantar kertas siasatan kepada pendakwa raya dan mereka akan putuskan," katanya lagi.
Yeoh disiasat berhubung satu hantaran di media sosial yang dikaitkan dengannya. Namun bekas timbalan menteri itu berkata, sejak Mac iaitu ketika hantaran itu mula muncul, kenyataan yang dikaitkan dengannya itu adalah palsu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai