Skip to main
Logo Malaysiakini

Ikatan gesa moratorium pinjaman dilanjutkan 6 bulan lagi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan berunding dengan institusi kewangan agar tempoh moratorium terhadap golongan berpendapatan rendah dilanjutkan lagi selama enam bulan.

Ketuanya Shahir Adnan berkata, ia bagi meringankan beban rakyat yang terus terkesan ekoran kelembapan ekonomi yang dapati dilihat menerusi penurunan permintaan perniagaan dan kehilangan kerajaan.

“DPIM menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN), terutama menteri kewangan, untuk berunding dengan institusi kewangan seperti bank dan koperasi, untuk melanjutkan tempoh moratorium selama enam bulan lagi secara bersasar demi menstabilkan keadaan ekonomi negara dan meringankan beban rakyat.

“Kami mencadangkan tempoh lanjutan moratorium disasarkan kepada golongan B40, rakyat yang diberhentikan pekerjaan dalam tempoh PKP hingga PKPP, dan usahawan kecil dan sederhana yang hilang sumber pendapatan.

“Ini agar rakyat tidak terbeban kerana kelembapan ekonomi. Memang sukar untuk mencari peluang pekerjaan baru pasca Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Moratorium untuk semua pinjaman dan bayaran kewangan bermula sejak April lalu dan akan tamat September ini.

Gesaan Shahir senada dengan beberapa pihak lain, antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang mencadangkan ia dilanjutkan ke satu tempoh yang bersesuaian.

Dalam cadangannya, Abim memetik unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020 yang menunjukkan kadar pengangguran dijangka akan terus meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun 2020.

Selain itu, Jawatankuasa Beku Sewa yang merangkumi beberapa NGO pula menggesa kerajaan menguatkuasakan pengecualian pembayaran sewa sehingga Mac 2021.

Kata Shahir lagi, semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), sebanyak 66 peratus perniagaan mengalami penurunan permintaan yang drastik sehingga menyukarkan usaha mempertahankan perniagaan.

Katanya lagi, ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan sejak penguatkuasaan PKP sehingga ke hari ini, dengan memberikan contoh notis pemberhentian kerja terhadap kira-kira 300 pekerja Media Prima Bhd baru-baru ini.

Beliau juga memetik kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kemerosotan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2020 kepada 0.7 peratus, serta pertumbuhan keseluruhan KDNK pada tahun ini yang dijangka serendah -4.7 peratus.

tindakan bagi membendung penularan Covid-19, manakala pertumbuhan keseluruhan KDNK untuk tahun 2020 dijangka serendah -4.7 peratus.

Kelmarin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata lanjutan moratorium bersasar adalah dalam bidang kuasa dan terpulang kepada bank.

Katanya, bank perlu mengkaji cadangan itu tetapi tidak boleh dipaksa untuk melaksanakannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed pula berkata kerajaan perlu mendengar pandangan semua pihak terutamanya Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank tempatan lain dalam membuat keputusan mengenai cadangan lanjutan tersebut.ini.