Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Persekutuan akan dengar kes terhadap Malaysiakini esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Prosiding menghina terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan akan bermula esok pada jam 9 pagi di Mahkamah Persekutuan.

Sesi penghujahan dijangka bermula pagi esok di hadapan kemungkinan panel tujuh hakim di Istana Kehakiman Putrajaya.

Malaysiakini telah memfailkan permohonan pada Khamis lalu untuk mengenepikan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk Peguam Negara (AG) Idrus Harun memulakan prosiding hina mahkamah terhadap portal berita berkenaan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan mengenepikan prosiding menghina terlebih dahulu. Sekiranya hakim menolak permohonan itu, maka sidang mahkamah akan diteruskan untuk mendengar prosiding menghina.

Terdapat kemungkinan tahap sabitan hukuman dapat dicapai pada hari yang sama.

Tidak ada batasan undang-undang terhadap hukuman menghina mahkamah.

'Komen gugat keyakinan awam'

Pada April 2019, peguam Arun Kasi dipenjara 30 hari dan didenda RM40,000 berhubung ulasan yang dibuatnya mengenai prosiding Mahkamah Persekutuan.

Prosiding menghina terhadap Malaysiakini dan Gan dimulakan oleh Peguam Negara Idrus Harun.

Dalam afidavitnya, Idrus berkata permohonan untuk prosiding komital itu berkaitan komen dalam artikel bertarikh 9 Jun lalu bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”

Mengetengahkan lima komen, Idrus berkata komen-komen dirujuk dengan jelas membawa maksud badan kehakiman melakukan salah laku, terlibat dalam aktiviti rasuah, tidak menegakkan keadilan dan mengkompromi integriti badan kehakiman.

“Komen-komen tersebut menggugat keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan secara nyata berniat menjatuhkan nama baik pentadbiran keadilan oleh badan kehakiman,” tambahnya.

Idrus diwakili oleh timbalan pendakwa raya Alice Loke ketika permohonan dibuat pada 15 Jun lalu.

Loke pada ketika itu memetik Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 untuk berpendapat bahawa portal berita itu bertanggungjawab dalam membantu memberi komen yang menyinggung perasaan.

Seksyen itu, yang berkaitan dengan andaian fakta dalam penerbitan - menetapkan bahawa seseorang yang merupakan penyedia perkhidmatan rangkaian berdaftar sebagai pelanggan perkhidmatan rangkaian dianggap sebagai orang yang menerbitkan, atau menerbitkan semula penerbitan kecuali jika dibuktikan sebaliknya.

"Orang yang memfasilitasi penerbitan dianggap telah menerbitkan isinya," katanya ketika berpendapat bahawa fakta penerbitan telah dibuktikan.

Mengenai komen yang menyinggung, Loke berpendapat komen-komen itu menskandalkan mahkamah kerana ia secara tidak langsung menyerang Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mendedahkan badan kehakiman terhadap skandal awam dan akan menyebabkan kepercayaan masyarakat terhadap badan kehakiman terhakis.

Sementara itu, Gan (gambar, atas) berkata kes ini akan memberi kesan besar bukan hanya kepada Malaysiakini tetapi juga organisasi media lain, syarikat teknologi dan jutaan rakyat Malaysia yang menggunakan media sosial.

"Tindakan menghina mahkamah terhadap Malaysiakini ini kerana komen yang dihantar oleh pembaca kami," kata Gan.

"Ini meskipun kami telah membuang komen-komen yang didakwa menghina itu daripada laman web kami tidak lama selepas laporan berita pembukaan semula mahkamah dimuatnaik."

Malaysiakini diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth.

Sejumlah pertubuhan akan memantau pendengaran, termasuklah Majlis Peguam serta kumpulan media Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Pusat Kewartawanan Independen (CIJ).

[Baca berita asal]