Skip to main
Logo Malaysiakini

Yusran Shah dilantik KSU baru Kementerian Pendidikan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Yusran Shah Mohd Yusof dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan yang baru berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara,  Mohd Zuki Ali, dalam kenyataan hari ini, berkata Yusran Shah, 51, menggantikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas yang bersara wajib.

Yusran Shah telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun dengan jawatan pertama yang disandang ialah sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Perdana Menteri pada 25 Januari 1995.

Mohd Zuki berkata Yusran Shah, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Sarjana Ekonomi dari Universiti Antarabangsa Jepun, berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, pembangunan sumber manusia dan keselamatan.

"Semoga dengan pelantikan ini, beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya untuk memastikan sistem pendidikan yang bermutu serta membangun potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara dapat dilestarikan," katanya.

Mohd Zuki turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih bagi pihak kerajaan kepada Mohd Gazali atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam selama 34 tahun.

- Bernama