Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar, Shafie dua-dua layak pimpin negara, kata Christina Liew

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew menyambut baik cadangan ketua menteri negeri Shafie Apdal untuk dicalonkan sebagai calon perdana menteri alternatif untuk Pakatan Harapan Plus bagi mengakhiri pergolakan politik selama empat bulan dalam gabungan pembangkang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PKR Sabah secara konsisten menyokong presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk PH Plus.

Liew, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, berkata Anwar dan Shafie berkelayakan dan mampu menerajui negara.

"Apa yang saya katakan hanyalah kenyataan dan perasaan saya, ia tidak mewakili keseluruhan PKR Sabah," katanya.

“Kamu bertanya apakah perasaan saya tentang Shafie untuk dicalonkan menjadi perdana menteri. 

"Saya akan menjawabnya, sebagai rakyat Sabah, saya menyambut baik cadangan ini," katanya dalam ceramah siarang langsung atas talian semalam.

"Sebilangan besar rakyat Sabah juga menyambut baik cadangan ini kerana setelah setengah abad, kita sekarang memiliki seorang pemimpin dengan kualiti seorang perdana menteri untuk memimpin negara.

"Saya sangat gembira, saya bertanya dengan rakan-rakan saya, beberapa ratus dari mereka, dan mereka sangat gembira dengan (perkara) itu," katanya.

Shafie ada wawasan

"Saya percaya Shafie sangat berpengalaman dalam mentadbir di peringkat persekutuan dan negeri. Beliau adalah seorang yang berwawasan," katanya.

Liew percaya seorang perdana menteri dari rakyat Sabah akan memahami sepenuhnya masalah yang dihadapi negeri ini.

"Apa (akan) berlaku kepada Anwar? Beliau adalah presiden PKR dan PH. Beliau turut berkelayakan dan mampu memimpin negara.

"Pertelingkahan (politik) telah berlangsung selama tiga hingga empat bulan, kemunculan Shafie (dicalonkan sebagai calon perdana menteri PH Plus) adalah satu nafas segar," katanya.

Liew berkata bahawa Anwar telah memberitahunya bahawa beliau sedang menunggu keputusan muktamad dari DAP dan Amanah sebelum PH Plus mencari jalan penyelesaian mengenai perkara itu.

Beliau berkata ketika pertemuannya dengan biro politik PKR Sabah semalam, telah bersetuju untuk secara konsisten menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

"(Mengenai) isu Shafie dicalonkan untuk menjadi perdana menteri, setiap anggota menyambutnya dengan baik,” katanya.

Kerajaan PH di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang berkuasa selepas pilihan raya umum 2018 runtuh pada akhir Februari selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik keluar parti itu daripada PH.

Mahathir telah merancang serangan balas terhadap Muhyiddin, yang mempunyai majoriti tiga kerusi di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, sekutu PH Plus tidak dapat mencapai kata sepakat berhubung calon perdana menteri.

Pada 27 Jun, Mahathir mendedahkan beliau telah bertemu dengan pemimpin Amanah, DAP dan Warisan pada 25 Jun dalam satu pertemuan tidak rasmi.

Dalam pertemuan itu, satu cadangan telah dibuat untuk mencalonkan Shafie sebagai calon perdana menteri. 

Sementara Anwar dan Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikaikan, Mukhriz Mahathir akan menjadi timbalan perdana menteri.

Sementara itu, DAP dan Amanah mengatakan keputusan itu harus dibuat bersama di peringkat gabungan PH.

[Baca berita asal]