NGO serah memorandum, tuntut dialog dengan KPM isu tulisan Jawi
NGO Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendesak penglibatan dalam penggubalan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi murid tahun lima, khususnya berkaitan isu tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia.
Setiausahanya Arun Doraisamy berkata memorandum itu diserahkan selepas pihaknya gagal mendapatkan maklum balas bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin sejak Mac lalu.
"Kami agak kecewa dengan kepimpinan KPM sebelum ini yang tidak menghiraukan suara kami dan terus 'menjentolak' dasar ini tanpa libat urus yang secukupnya atau memberi justifikasi yang rasional akan pengenalan pengajaran dan pembelajaran subjek tulisan Jawi atau khat dalam Bahasa Malaysia.
"Kami meminta KPM untuk menganjurkan satu sesi bentang dan bincang untuk mendalami isu ini dengan kadar segera. Walaupun kami telah memulakan satu proses rujukan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi masih berharap KPM sedia berbincang.
"Kami pasti isu ini boleh diselesaikan secara berhemah dan ini bukanlah satu isu sensitif atau isu perkauman, malah ini adalah satu isu sukatan pelajaran yang harus sejajar dengan aspirasi falsafah pendidikan negara dan kehendak semasa," katanya ketika ditemui di perkarangan KPM, Putrajaya, hari ini.
Pada 17 Jun lalu, Sekat dalam sidang medianya di Kuala Lumpur mohon dilibatkan sama dalam penggubalan DSKP bagi murid tahun lima dan telah menghantar surat memohon pertemuan dengan Mohd Radzi Md Jidin pada 13 Mac.
Bagaimanapun sehingga kini tidak ada maklum balas dari pihak Mohd Radzi
Sekat sebelum ini muncul di tengah-tengah kontroversi pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Mereka menuntut pembelajaran Jawi hanya dijadikan pilihan, bukan wajib lulus.
Kementerian Pendidikan sewaktu diterajui menteri pendidikan kerajaan PH Maszlee Malik sebelum ini memperkenalkan tiga halaman tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia pada murid tahun 5.
Selain Sekat, ia ditentang oleh kumpulan pendidikan dan pentadbir sekolah Cina Dong Zong dan Jiao Zong.
Kontroversi itu dipercayai menjadi antara punca Maszlee meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan pada 2 Januari.
Mengulas lanjut, Arun berkata pihaknya memberi tempoh sehingga sebelum sidang Dewan Rakyat bersidang pada 13 Julai ini, untuk pihak KPM mengadakan perbincangan dengan mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai