Skip to main
Logo Malaysiakini

Sekolah dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Operasi sekolah bagi murid tahun 5 dan 6 serta pelajar tingkatan 1 hingga 4 dan kelas peralihan, akan bermula 15 Julai ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin.

Sementara itu, murid tahun 1 hingga tahun 4 pula akan mula bersekolah, seminggu kemudian, iaitu pada 22 Julai.

"Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam itu dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau turut mengumumkan bahawa semua institusi pendidikan swasta di bawah kategori pusat yang berdaftar dengan KPM termasuk pusat tuisyen, bahasa dan pusat perkembangan juga boleh dibuka semula pada 15 Julai.

Mengenai tawaran kemasukan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ke tingkatan enam semester 1 tahun 2020, Radzi berkata keputusan boleh disemak mulai hari ini melalui portal kementerian. Calon lepasan SPM terbabit juga akan mendaftar pada 15 Julai.

Sementara itu, Radzi berkata KPM melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau kaedah lain yang bersesuaian sepanjang hampir empat bulan bagi memastikan lebih 5.7 juta pelajar yang tidak hadir sekolah ekoran pandemik Covid-19 dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan.

Bagaimanapun, beliau pihaknya sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian kerana kaedah Home-Based Learning adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa.

“Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad. Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan Home-Based Learning agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi mengadakan peperiksaan SPM 2020 yang dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021.

Beliau berkata ini termasuk memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun berkenaan berjalan lancar.

Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, katanya.

Menurutnya, KPM perlu menyusun pendekatan dan kaedah di luar kebiasaan bagi mendepani isu-isu yang timbul susulan penularan pandemik COVID-19.

“Untuk membuat keputusan yang kompleks sebegini, kami perlu merancang dengan teliti. Kami mesti melihat secara menyeluruh dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

“Perancangan yang dibuat tidak boleh hanya tertumpu untuk tahun ini sahaja. Ini kerana kesan pandemik Covid-19 kepada sektor pendidikan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

“Apa yang menjadi keutamaan ialah memastikan murid mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi sebagai persediaan untuk tahun berikutnya,” katanya.