Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada caj tambahan bil TNB Julai hingga Disember

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak perlu membayar surcaj (bayaran tambahan sebagai cukai atau denda yang dikenakan di samping bayaran biasa) bagi bil elektrik mereka bermula Julai ini sehingga Dis tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan, dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu diambil selepas Suruhanjaya Tenaga (EC) meluluskan pelarasan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Katanya, kerajaan meluluskan pengurangan ICPT bagi tempoh berkenaan pada kadar surcaj semasa 2 sen/kilowatt-jam (kWh) kepada 0 sen/kWh bagi pelanggan bukan domestik.

"Pengurangan surcaj ICPT ini adalah susulan pengurangan kos bahan api sebenar untuk tempoh Jan hingga Jun 2020 berbanding enam bulan yang lepas iaitu Julai hingga Dis 2019,” katanya.

Menurut Amir, untuk tempoh Jan hingga Jun 2020, harga purata arang batu adalah antara AS$69.5 satu tan metrik.

Ia mengatakan harga purata arang batu untuk tempoh tersebut adalah AS$69.5 satu tan metrik berbanding penanda aras AS$75 satu tan metrik sementara harga purata gas asli pada RM26.6/ juta unit termal British (mmBTU) berbanding penanda aras RM27.2/mmBTU.

“Sebagai syarikat utiliti, TNB dikawal selia oleh EC dan beroperasi dalam persekitaran yang terkawal, termasuk oleh mekanisme ICPT.

"Seperti yang ditetapkan oleh keputusan EC menerusi ICPT, TNB akan memaparkan perubahan pada kos bahan api dan lain-lain kos penjanaan dalam tarif elektrik pada setiap enam bulan," katanya.

Sejak Jan tahun ini harga gas ditentukan oleh Harga Pasaran Rujukan (RMP) menggantikan mekanisme penetapan harga gas dua peringkat sebelum ini yang terdiri daripada Harga Gas Dikawal Selia dan Harga LNG.

Bagi Jan hingga Jun 2020, harga purata RMP ialah RM26.60/mmBTU.

Tambah Amir, sekiranya harga bahan api naik, ia akan hanya memberi kesan kepada pengguna kemudian, lantas memberi peluang untuk sistem untuk melakukan penyesuaian.

“Dalam kerangka industri yang dikawal selia, TNB sebagai syarikat utiliti utama terus komited untuk memastikan pelanggan kami mendapat bekalan elektrik yang stabil dan perkhidmatan pelanggan yang bertaraf dunia, serta kekal utuh dalam usaha menerangi kehidupan rakyat,” katanya.

[Baca berita penuh]