Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih: Adakah Rela disalah guna untuk kempen BN?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK CHINI | Badan pemantau pilihan raya, Bersih membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya salah guna Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam satu majlis di Chini, yang dikatakan untuk berkempen bagi calon BN Mohd Sharin Md Zain.

Majlis yang berlangsung di Dewan Semai Bakti di Chini pada 27 Jun itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Anggota Rela dikatakan hadir ke majlis itu lengkap berbaju seragam dan dikatakan melaungkan “Hidup BN” sebanyak tiga kali.

“Memandangkan Rela adalah unit di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), perkara ini menimbulkan beberapa persoalan - adakah majlis Rela disalah guna untuk kempen pilihan raya?

“Adakah anggota Rela di Chini diarah atau dimobilasi oleh KDN untuk menghadiri majlis bagi menyokong calon BN?

“Dan terakhir, bukankah Rela sebagai jabatan kerajaan patut mengekalkan keneutralan dalam majlis mereka?” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih.

Katanya juga, memandangkan dua lagi calon tidak hadir di majlis berkenaan, ia telah “jelas memberikan kelebihan yang tidak adil” terhadap Sharin.

Dua calon lain adalah ahli perniagaaan Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan pemblog (blogger) Mohd Shukri Mohd Ramli.

Pilihan raya kecil (PRK) Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya dari BN, Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei.

Sementara itu, Bersih turut membangkitkan waktu sesetengah projek diumumkan oleh kerajaan semasa tempoh PRK Chini, yang boleh menjurus ke arah memancing undi.

Ini termasuklah pembinaan pusat kecemerlangan persenjataan berjumlah RM60 juta di Kampung Bukit Chempedak Bintang, Kuala Chini, yang dakwa Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, telah diluluskan beberapa tahun sebelum ini semasa pentadbiran BN.

Satu lagi projek ialah penaiktarafan dan pengembangan capaian internet di Chini sejak hujung Mei.

“Bersih mengalukan projek pembangunan yang akan memanfaatkan rakyat, namun kami mempersoalkan masa projek tersebut diumumkan yang kebetulan pada tempoh pilihan raya kecil.

“Projek baharu tersebut dirancang dengan kesedaran penuh bahawa pilihan raya kecil akan diadakan di Chini selepas mantan Adun Chini, Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei.

“Sekali lagi persoalan kemungkinan penyalahgunaan sumber kementerian untuk memancing undi dan memberikan kelebihan yang tidak adil kepada parti kerajaan dalam pilihan raya,” kata gabungan itu lagi.

Bagi mencegah penyalahgunaan jawatan, kuasa dan sumber untuk memancing undi, badan itu menggesa Akta Keneutralan Pentadbiran Awam diperkenalkan, dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipinda bagi membolehkan hukuman dijatuhkan atas perbuatan sedemikian.

[Baca berita asal]