Skip to main
Logo Malaysiakini

'Perlembagaan boleh beri jalan buat pelaksanaan Islam'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelaksanaan Islam di negara ini tidak terhalang oleh Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya kerana faktor kemahuan politik kata seorang penganalisis politik.

Menurut Dr Muhammad Fathi Yusof, Perlembagaan Persekutuan menberi jalan kepada pelaksanaan Islam jika ada kemahuan.

"Pelaksanaan Islam bukan dihalang oleh Perlembagaan, tapi terhalang kerana tidak ada kemahuan politik.

"Jika sekiranya ada kemahuan politik, perlembagaan kita boleh, akan memberi jalan kepada pelaksanaan Islam,” katanya seperti dipetik harakahdaily dan dipercayai merujuk kepada pelaksanaan undang-undang Islam.

Fathi yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengupas perkara itu baru-baru ini dalam satu wacana anjuran Mahasiswa anjuran Kesatuan Mahasiswa UUM.

Kupasan bertajuk “Kerajaan Hari Ini: Apa Kata Pakar” itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Dengan memberi contoh pelaksanaan undang-undang jenayah Islam terhadap pencuri yang mesti dipotong tangan, Fathi berkata, ia boleh dilakukan dengan meminda Kanun Keseksaan.

Kanun Keseksaan boleh tepati Islam

Apabila Kelantan mahu melaksanakan hukuman tersebut, tambah beliau, telah ada latihan simulasi , pandangan pakar, doktor dan lain-lain untuk membolehkan ia dilakuka.

“(Jadi) Sebenarnya halangan itu bukan halangan perlembagaan, tetapi halangan dari sudut politik.

"Apabila kita kata halangan politik ini, dia juga melibatkan halangan-halangan dari sudut kesedaran rakyat kerana rakyat yang memberi sokongan kepada ahli politik.

“Kalau katakan rakyat tak faham, rakyat tak sedar, maka rakyat akan memilih ahli politik yang tidak akan sokong pelaksanaan Islam.

"Jadi sekarang ini, nak mula di mana? Kita pakat-pakat mulalah termasuk dari sudut aspek pendidikan," katanya.

Menyentuh mengenai cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355, Fathi menyifatkan usaha tersebut antara kesedaran umat di negara ini terhadap pelaksanaan Islam.

Katanya, walaupun Islam boleh dilaksanakan melalui pelbagai medium seperti pendidikan, budaya, politik dan kepimpinan, tetapi perspektif undang-undang antara yang paling popular.

Menurutnya, pindaan RUU355 boleh mengukuhkan bidang kuasa yang berkaitan, serta elemen hukuman dapat dimasukkan melalui kanun keseksaan hingga menepati prinsip Islam.