Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa lantik wakil kaum India dalam kerajaan Perak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beberapa NGO mendesak Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu agar segera melantik wakil kaum India dalam kerajaan negeri bagi mewakili kepentingan masyarakat itu.

Dalam satu kenyataan, mereka meluahkan rasa kecewa selepas Ahmad Faizal tidak membuat sebarang lantikan khususnya daripada MIC yang merupakan komponen BN.

"Wakil-wakil dari Bersatu, Umno dan PAS telahpun dilantik untuk memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan Perak.

“Kenapa tiada seorang wakil kaum India dilantik untuk menjaga kepentingan masyarakat India di Perak?" soal mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan pengerusi Pertubuhan Kearah Wawasan TN50 Perak, R. Mahendran, Pengerusi Persatuan Kebajikan, Sosial, Sukan Dan Kebudayaaan India Kinta, P. Uvarajan dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Swasaga Kinta Perak, S. Thanabala.

Dalam pada itu mereka turut membidas kenyataan Ahmad Faizal baru-baru ini yang mengatakan beliau sendiri mampu mewakili kepentingan masyarakat India di Perak.

“Bolehkah Ahmad Faizal senaraikan dasar-dasar dilaksanakan kerajaan negeri demi manfaat masyarakat India di Perak sepanjang beliau menjadi menteri besar selama 26 bulan ini sejak PRU ke-14, termasuk selama 22 bulan di bawah kerajaan negeri Pakatan Harapan sebelum ini?" soal mereka.

Terdahulu, akhbar Tamil Makkal Osai melaporkan Ahmad Faizal dipetik sebagai berkata bahawa masyarakat India di Perak tidak perlu risau dengan ketiadaan sebarang wakil dalam kerajaan negeri.

Ahmad Faizal juga dilapor berkata, segala kepentingan kaum India di negeri itu akan dibawa terus ke perhatian dan beliau mampu menguruskannya.

Mengulas lanjut, NGO berkenaan berkata MIC pernah diberi beberapa jawatan dalam kerajaan negeri di bawah BN di antara 2008 dan 2013, sungguhpun parti tersebut tidak memenangi mana-mana kerusi DUN semasa PRU ke-12.

Antara jawatan yang pernah diberikan kepada MIC adalah penasihat dan pegawai khas kepada MB berhubung masyarakat India.

"Adalah wajar bagi kerajaan negeri PN untuk melantik wakil-wakil MIC untuk memelihara kepentingan masyarakat India di Perak dengan segera," tambah mereka.

Malaysiakini telah menghubungi Ahmad Faizal untuk mendapatkan penjelasan.