Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: KKM terus uji kumpulan sasaran, pesakit hospital

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melakukan ujian saringan terhadap kelompok sasaran bagi mencegah penularan wabak Covid-19 meskipun keadaan negara semakin pulih daripada wabak berkenaan.

Sejak 12 tengah hari ini, negara merekodkan sebanyak lima kes baru dan sembilan sembuh yang turut membawa jumlah kes aktif sebanyak 81.

Manakala hanya dua kes aktif melibatkan kluster Sri Petaling yang merupakan kluster terbesar negara.

Pada sidang media Covid-19 hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham menegaskan KKM akan terus memantau sembilan kelompok berisiko tinggi, iaitu:

1) Kluster Seri Petaling

2) Tahfiz, madrasah dan sekolah pondok

3) Semua kluster aktif

4) Rakyat Malaysia dan penduduk tetap yang pulang dari luar negara

5) Pekerja kesihatan

6) Pasar dan pekerja

7) Pekerja asing dari tapak pembinaan di kawasan zon merah

8) Pusat penjagaan warga emas

9) Tahanan Imigresen

Pihak hospital juga akan membuat saringan ujian Covid-19 kepada pesakit yang akan melalui pembedahan serta mereka yang menghidap penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut yang teruk (Sari) sebagai pendekatan pengawasan klinikal.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata pihak kementerian akan mula memperluas pengawasan terhadap komuniti yang disyaki dijangkiti Covid-19 tetapi tidak bergejala.

“Jika kami syak ada pesakit tidak bergejala dalam komuniti, kita akan lakukan ujian saringan.

“Tugasan kami selepas ini adalah untuk mengesan komuniti tersebut, selepas pengesanan kami akan terus swab (mereka).

“Sekarang kita hanya buat ujian swab jika ada kes positif atau kluster […] tetapi jika ada komuniti yang dikenal pasti dan disyaki kes positif yang tidak bergejala, kita akan lakukan ujian saringan dan pengawasan,” jelasnya.

Berkenaan kemampuan ujian, Dr Noor Hisham mengatakan bahawa pihak makmal kerajaan dan swasta melakukan sekurang-kurangnya 10,000 ujian sehari hari meskipun kapasiti ujian harian maksimum 37,004.

Sejak 12 tengah hari ini, sebanyak 8,983 ujian telah dilakukan.

Tambahnya, kementerian menghadapi kelewatan menerima keputusan ujian Covid-19 yang negatif dari makmal swasta, yang membawa kepada 20,000 atau 54 peratus- kapasiti maksimum ujian harian.

“Mereka (pihak swasta) buat (ujian itu) tetapi tak berikan informasi kes negatif. Kita tidak dapat denominator.

“Kita perlu lihat sistem yang boleh (benarkan) data untuk terus ada supaya ia tidak dilakukan secara manual. Kami sedang cuba membawa isu itu (dan) mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita dapat naikkan (kadarnya),” tambahnya.