Maritim Malaysia buka kertas siasatan tragedi bot terbalik
Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sudah membuka kertas siasatan berhubung tragedi bot terbalik di perairan Kemasin, Isnin lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata kertas siasatan itu dimulakan sejak hari pertama kejadian dengan melihat pelbagai sudut terutama menjurus kepada kemalangan yang berlaku di laut.
"Penemuan daripada hasil siasatan itu akan digunakan untuk kepentingan bersama apabila kejadian serupa berlaku," katanya pada sidang media hari kelima kejadian bot karam di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 71 anggota pelbagai agensi dan nelayan tempatan diperluaskan dengan merangkumi kawasan seluas 450 batu nautika persegi bagi mencari dua lagi mangsa yang belum ditemui iaitu Arman Ismail, 43, dan Encik Wadi Bakar, 45.
Bagi memastikan operasi menyelamat lebih berkesan, Muhd Nur Sham berkata pihaknya tidak akan mengurangkan anggota bertugas sebaliknya meningkatkan jumlah aset termasuk menggunakan helikopter.
"Untuk esok, operasi akan diperluaskan menjurus ke Pulau Perhentian... kita juga akan menggunakan khidmat helikopter bagi memantau keadaan dari udara.
"Kita juga meminta rakan nelayan yang berada di laut untuk turut sama memerhatikan kemungkinan terjumpa mangsa," katanya.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, sebuah bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong terbalik dibadai ribut kerana ombak besar di kawasan tersebut. Kejadian itu meragut enam nyawa, 12 lagi terselamat manakala dua lagi masih hilang.
Operasi hari kelima ditangguhkan pada jam 7 malam dan akan disambung semula 6 pagi esok.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai