Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes projek terowong: Jeffrey Chew dibebas dengan jaminan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew dibebaskan dengan jaminan selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Memakai kemeja warna merah serta pelitup separuh muka juga berwarna merah, Chew dilihat keluar dari ibu pejabat SPRM Pulau Pinang pada 12.55 tengah hari ini, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen (MP) Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan MP Jelutong RSN Rayer.

Ramkarpal, yang juga seorang daripada peguam mewakili Chew, berkata anak guamnya dibebaskan dengan jaminan tanpa sebarang syarat.

“Pada ketika ini, juga tiada syarat lain (bagi jaminan Chew),” katanya kepada pemberita di luar pejabat SPRM Pulau Pinang di sini.

Difahamkan Chew dibebaskan dengan jaminan RM100,000.

Chew direman empat hari mulai 1 Julai oleh SPRM untuk membantu siasatan terhadap projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Chow, yang tiba di ibu pejabat SPRM pada 12.15 tengah hari, berkata SPRM telah memanggil 12 atau 13 individu untuk diambil keterangan.

Beliau berkata individu yang dipanggil oleh SPRM termasuk ahli mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dan bekas Exco Pulau Pinang yang terlibat dalam proses tender terbuka projek terowong dasar laut.

“Saya sendiri antara yang telah diminta (memberi keterangan) yang dijadual pada Selasa (7 Julai)” katanya dan menurutnya tempat untuk memberi keterangan itu masih belum diputuskan.

Antara yang hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang pagi ini ialah bekas exco kerajaan negeri Lim Hock Seng dan Abdul Malik Abul Kassim.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kertas siasatan projek terowong dasar laut dijangka siap dalam dua atau tiga minggu lagi.

- Bernama