Majlis Peguam gesa badan bebas siasat kematian dalam tahanan
Sebagai reaksi terhadap kematian terbaru dalam tahanan V Mugilarasu di Penjara Sungai Buloh, Majlis Peguam memperbaharui gesaan mereka agar sebuah badan luar bebas dibentuk untuk menyiasat kes-kes seumpama itu.
M Ramachelvam yang mempengerusikan pasukan petugas Majlis Peguam berhubung Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) berkata, organisasi itu perlu diberikan kuasa khusus untuk menyiasat kematian dalam lokap polis, penjara atau pusat tahanan imigresen.
"Ia juga penting untuk inkues diadakan bagi mencari kebenaran berhubung kematian itu," katanya seperti dilapor FMT.
Terdahulu, Jabatan Penjara mendakwa Mugilarasu, 35 yang meninggal dunia ketika menunggu perbicaraan di mahkamah, mengalami serangan jantung.
"Keputusan post-mortem menunjukkan serangan jantung," kata seorang jurucakap Jabatan Penjara kepada Malaysiakini.
Peguam keluarga mendiang, A Sheelan sebelum ini mendakwa terdapat tanda-tanda kecederaan di badan mangsa.
"Memang ada bengkak-bengkak di muka. Tapi, pakar (patologi forensik) kata kena bedah, kerana mendiang berkulit gelap, kena kopek kulit untuk nampak kesan-kesan lebam (jika ada)," katanya.
Mengulas lanjut, Ramachelvam berkata keselamatan tahanan adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa yang menahan, dan semua kematian di lokap polis, penjara atau pusat tahanan imigresen mesti disiasat secara menyeluruh.
Ramachelvam berkata, cadangan rang undang-undang penubuhan IPCMC memperuntukkan siasatan kematian dalam tahanan polis oleh suruhanjaya itu.
“Peruntukan sama perlu digubal bagi institusi lain yang mempunyai kuasa dan kemudahan untuk tangkapan dan penahanan.”
Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, RUU IPCMC akan diperhalusi sebelum Kabinet Perikatan Nasional membuat keputusan akhir berhubung penubuhannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai