Skip to main
Logo Malaysiakini

Perjumpaan pertama Muhyiddin, warga JPM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan perjumpaan pertama dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) setelah menerajui pentadbiran kerajaan sejak 1 Mac lepas.

Perjumpaan bersama warga JPM yang lazimnya diadakan di Dataran Perdana, Perdana Putra pada setiap bulan itu merupakan yang pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lepas bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Muhyiddin yang mengenakan sut berwarna hitam tiba pada kira-kira 8.26 pagi menyanyikan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang serta mengaminkan doa bersama warga JPM sebelum menyampaikan ucapan.

“Saya panjatkan syukur kerana buat pertama kalinya kita dapat mengadakan perhimpunan bulanan JPM yang sewajarnya kita adakan beberapa bulan lalu disebabkan oleh kerana kita melalui satu tempoh yang amat mencabar,” kata Muhyiddin memulakan ucapan serta bertanya khabar kepada penjawat awam.

Perjumpaan itu berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mencegah penularan Covid-19 dengan dihadiri tidak lebih 250 orang terdiri daripada tiga pengurusan kanan atau wakil daripada 56 agensi di bawah JPM.

Selain itu, setiap individu perlu melalui pemeriksaan suhu badan dan merekodkan kedatangan, memakai pelitup separuh muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Turut hadir ialah lima Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Mustapa Mohamed (Ekonomi), Dr Maximus Johnity Ongkili (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-tugas Khas), Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) dan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama).

Hadir sama, timbalan-timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Eddin Syazlee Shith (Parlimen dan Undang-Undang), Mastura Mohd Yazid (Tugas-Tugas Khas), Datuk Hanifah Hajar Taib (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Arthur Joseph Kurup (Ekonomi) dan Ahmad Marzuk Shaary (Hal Ehwal Agama) serta Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 1 Mac.

- Bernama