Skip to main
Logo Malaysiakini

Tindakan tegas pada warga asing kehendak rakyat Malaysia - Hamzah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini berkata bahawa tindakan tegas pihak penguatkuasa terhadap warga asing yang tidak mempunyai dokumen ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah kehendak rakyat Malaysia.

"Saya tak nak ambil hal tentang masalah media orang luar. Kalau pun media asing mengatakan kita begitu garang dan tegas, saya rasa itulah kehendak rakyat.

"Rakyat nak melihat supaya semua orang duduk dalam negara ini mengikut undang-undang yang ada dalam negara.

"Rakyat memerlukan kerajaan yang tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan kapal peronda kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini di Pelabuhan Klang.

Hamzah sebelum itu ditanya pemberita berhubung laporan Al Jazeera yang mengatakan bahawa Malaysia bertindak kejam terhadap warga asing dengan menahan mereka ketika tempoh PKP.

Menurut Ahli Parlimen Larut itu, segala tindakan terhadap warga asing yang tidak mempunyai dokument adalah mengikut undang-undang negara.

"Kita jangan ambil hal tentang media asing yang suka memutarbelitkan cerita yang bukan-bukan.

"Pada saya kita membuat mengikut undang-undang yang ada. Kita tangkap mengikut prosedur, mengikut SOP.

"Apabila kita tangkap sesiapa yang membuat kesalahan terpaksa kita bawa mereka untuk menghadapi undang-undang yang ada dalam negara kita," katanya lagi.

Al Jazeera dalam laporan video bertajuk 'Locked Up in Malaysia’s Lockdown' berdurasi 20.25 minit mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia mengendalikan langkah menangani Covid-19.

Laporan itu mengatakan bahawa pihak penguatkuasa negara bersikap kejam terhadap warga asing semasa PKP.

Bagaimanapun, Hamzah menolak laporan tersebut dan menegaskan bahawa kerajaan Malaysia lebih memihak kepada kehendak rakyat.

"Kalau mereka (warga asing) mahu bekerja di sini biarlah mereka mempunyai permit dan juga dokumen yang sah.

"Bukan kita tak mahu mereka berkerja dengan kita. Kita nak membangunkan negara ini kita nak perlukan pekerja-pekerja yang terutamanya yang nak melakukan kerja-kerja berat.

"Sudah tentu kita perlukan pekerja-pekerja daripada warga asing. Tapi yang penting bagi kita biar lah mereka ini mengikut undang-undang," katanya.