Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua pemuda Umno buat undian penggunaan logo BN bagi PRU15

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polemik sama ada logo BN masih relevan untuk digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ataupun perlu menggunakan logo baru atas nama Perikatan Nasional (PN) terus mendapat perhatian pemimpin Umno.

Kali ini giliran Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan undian di laman sosial Facebooknya bagi mendapat pandangan warga maya sama ada logo BN masih relevan atau sebaliknya.

"Berdasarkan kepada keputusan terbaharu di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini dan siri-siri PRK terdahulu, apakah saudara/i rasa lambang dacing atau BN masih relevan dan diterima?" tulis Asyraf di Facebooknya.

Sehingga artikel ini ditulis undian yang dibuat Asyraf telah mendapat respons kira-kira 34,000 warga maya dalam tempoh empat jam undian dibuka.

Daripada jumlah itu, 82 peratus memilih logo BN masih relevan dan wajar dikekalkan, manakala 18 peratus berpendapat sudah tidak relevan dan wajar dijenamakan semula.

BN mengalami kekalahan dalam PRU14 pada tahun 2018 apabila buat pertama kali gabungan itu tewas kepada Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu dipimpin bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun BN bangkit dalam enam PRK berturut-turut dan terbaru dalam PRK DUN Chini Sabtu lalu.

Dalam PRK Sabtu lalu, BN yang mempertaruhkan Mohd Shahrim Mohd Zain berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 12,650 undi menewaskan dua calon bebas.

Semalam, bekas menteri penerangan, Ahmad Shabery Cheek menyifatkan bukan sesuatu yang mudah untuk BN menggunakan logo baru dalam pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, lambang BN pernah melalui pasang surut sejak sekian lama penubuhannya termasuk ketika Dr Mahathir Mohamad menerajui parti.

"Lambang BN banyak melalui pasang surutnya. Namun berubah kepada lambang lain bukanlah suatu yang mudah. Pasti ada keistimewaannya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Ahmad Shabery berkata, BN pernah tewas kepada calon Bebas pada tahun 1988 dalam pilihan raya kecil (PRK) Johor Bahru sehingga merosakkan imej Umno dan BN ketika itu.

Minggu lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam satu wawancara bersama Umno Online menolak cadangan agar parti itu menggunakan lambang lain bagi menghadapi PRU15.

Katanya, Umno-BN tidak bersetuju PN bertanding sebagai gabungan tunggal yang menggunakan lambang baru kerana ia perlu memberi penjelasan kepada rakyat.

Tambahnya, parti yang menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak mempunyai masa mencukupi untuk menjelaskan kepada rakyat, jika ia menggunakan lambang asing pada PRU akan datang.