Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang Asli Batu Gong harap dibela Adun baru Chini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penduduk Orang Asli di kawasan Batu Gong dekat Pekan berharap wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang baru dapat membantu mereka mendapatkan bekalan elektrik dan air bersih yang sempurna, selain jalan berturap.

Dalam kawasan itu, terdapat lebih kurang 40 keluarga yang menetap berselerakan tanpa kemudahan asas walaupun ada antara rumah mereka terletak hanya kira-kira satu kilometer dari jalan utama Lebuhraya Segamat-Kuantan.

Difahamkan, usaha membawa kemudahan seperti elektrik dan air sukar dilakukan kerana penduduk di kawasan itu tinggal berjauhan antara satu sama lain berbanding penduduk Orang Asli di beberapa kawasan lain dalam DUN itu yang tinggal berkelompok.

Ketua Kampung Orang Asli Gantung Geriang, Tom Busu, 63, berkata disebabkan tiada bekalan elektrik, penduduk terpaksa berkongsi duit membeli minyak bagi kegunaan generator dan memastikan kediaman masing-masing bercahaya pada waktu malam.

Ujarnya, sewaktu pelaksanaan awal perintah kawalan pergerakan (PKP), mereka tidak mempunyai wang sehingga terpaksa mencatu menggunakan pelita minyak tanah kerana rata-rata bekerja sendiri dan menoreh getah.

“Sekarang masuk hutan pun belum tentu dapat menampung kehidupan sekeluarga, sebabnya hasil hutan makin menyusut, jadi hasil yang dapat pun cukup-cukup makan saja,” katanya kepada Bernama.

Menurut Tom, set generator terpakai bernilai hampir RM3,000 yang dibelinya kira-kira lima tahun lepas digunakan untuk menerangi kediaman dan dikongsi dengan enam rumah lain.

Bagaimanapun katanya, set tersebut kini semakin tidak berfungsi dengan baik.

Demi keselamatan penduduk

Dari segi bekalan air pula, Tom daripada suku Jakun itu berkata, mereka mempunyai telaga untuk digunakan bersama, selain parit berhampiran sekiranya bekalan air terputus.

“Cuma kami berharap kerajaan sediakan bekalan air secara terurus, sama seperti di kawasan rumah kampung yang lain,” katanya.

Tom yang mempunyai 14 cahaya mata berkata keperluan itu kian mendesak apabila generasi ketiga akan mewarisi kawasan itu tidak lama lagi, ditambah pula dengan zaman yang semakin maju dan canggih.

Bagi Yatim Bakar, 61, dia berpendapat mereka sepatutnya boleh mendapat bekalan elektrik kerana terdapat tiang elektrik berdekatan bagi kegunaan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT).

“Kampung kami tidaklah jauh dari jalan besar. Malah ada tiang elektrik berdekatan, tapi kenapa tidak boleh ditarik ke kampung kami? Jaraknya tidak sampai satu kilometer pun,” katanya.

Sementara itu, Miah Chik, 53, meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan membina jalan berturap dari jalan utama menghubungkan kampungnya demi keselamatan penduduk setempat.

Mungkin ada sedikit sinar buat penduduk di kawasan itu apabila wakil rakyat baru DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain, mahu mengotakan janji sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini baru-baru ini.

Beliau sebelum ini berjanji untuk memberi tumpuan seimbang kepada tiga petempatan dalam DUN itu iaitu kawasan Felda, kampung tradisional dan kampung Orang Asli.

Mohd Sharim, 41, yang memenangi PRK Sabtu lalu berkata, beliau mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan.

Beliau berkata misi utamanya ialah menyelesaikan permasalahan penduduk dan bagi tujuan itu, beliau akan bertemu dengan semua pemimpin masyarakat setempat.

- Bernama