Umno bersidang di PWTC pada 27 Nov
Majlis Tertinggi Umno menetapkan 27 Nov ini untuk Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 diadakan.
Keputusan itu diambil selepas pihak berkuasa yang memantau perkembangan Covid-19 membenarkan mesyuarat parti politik diadakan.
Mengumumkan tarikh berkenaan di Instagram, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata perhimpunan itu akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Seperti biasa PAU ke-74 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ahmad berkata, Umno menetapkan 26 Nov sebagai tarikh perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, dengan majlis perasmian untuk ketiga-tiga perhimpunan tersebut diadakan malam sebelumnya.
Ahmad kemudiannya mengumumkan bahagian Umno negeri akan mengadakan konvensyen tahunannya dari 1 hingga 23 Nov.
"Namun negeri yang telah selesai awal mengadakan mesyuarat bahagian, boleh menganjurkan konvensyen lebih awal.
"[...] Cawangan Umno, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri cawangan yang belum bermesyuarat, bolehlah mengadakannya pada 15 Julai hingga 31 Ogos … Mesyuarat Perwakilan Bahagian ialah pada 15 September hingga 31 Oktober.
"Jumlah kehadiran ahli mesyuarat perlulah tidak melebihi 250 orang. SOP terperinci boleh disemak di laman web Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya.
Menurut beliau lagi surat rasmi pemakluman berhubung tarikh-tarikh berkaitan akan diedarkan hari ini.
Ekoran krisis Covid-19, ROS pada Mac telah menangguhkan semua aktiviti pertubuhan sehingga 30 Jun.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kemudian menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan seterusnya PKP bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan virus itu.
Bagaimanapun, negara mula membuka semula kegiatan dan perniagaan secara berperingkat dalam PKP pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, seperti bilangan penyertaan yang terlibat dalam satu-satu kegiatan, langkah kebersihan, pemeriksaan suhu dan sebagainya sebagai amalan norma baru.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai