Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk gesa siasatan dalaman isu pindah milik tanah di Sg Siput

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebuah NGO menggesa Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengadakan siasatan dalaman berhubung dakwaan enam tapak di Taman Tun Sambanthan, Sungai Siput, termasuk tanah surau dan tempat ibadat, dipindah milik kepada syarikat perladangan berkaitan MIC.

Setiausaha Pertubuhan Peneraju Insan Indrani Selvakumar berkata kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak dalam urusan tanah.

"Kami mewakili lebih 1,000 penduduk Taman Tun Sambanthan meminta MB Perak supaya mengadakan satu siasatan dalaman untuk mengenal pasti bagaimana tanah ini yang sepatutnya dibangunkan kemudahan kepada penduduk taman itu telah dipindah milik hak kepada syarikat swasta.

"Tanah-tanah ini telah dipindah milik hak pada tahun 12 Ogos 2004 semasa kerajaan BN.

"Kami harap beliau boleh mengadakan siasatan ini dalam masa 30 hari dan menjelaskan kepada umum hasil siasatan. Sekiranya, gagal maka kami akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Malaysiakini telah menghubungi pemimpin MIC negeri dan beberapa pemimpin veteran parti itu dan sedang menunggu penjelasan mereka.

Syarikat perladangan itu pula ketika dihubungi memberitahu bahawa akan memberi penjelasan dalam masa terdekat.

Faizal ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini berkata beliau akan menyiasat dakwaan itu sebelum membuat sebarang ulasan.

Pada 3 Julai, NGO tersebut telah menyerahkan memorandum berkaitan perkara itu kepada Pejabat Menteri Besar di Ipoh, Perak.

Tapak-tapak berkenaan diwartakan sebagai sebahagian daripada kemudahan infrastruktur kepada penduduk ketika kawasan perumahan itu dibangunkan pada tahun 1978.

Namun, selepas hampir 42 tahun tapak-tapak itu masih tidak dibangunkandan dipindah milik.

Antara tapak yang dipindah milik adalah tempat ibadat bukan Islam (PT12184), rizab latihan belia (PT12193), balai raya (PT12195), pasar (PT12196), LLN (PT12197) dan surau (PT12200) dalam pelan kawasan Sungai Siput.

Bekas ketua bahagian MIC Sungai Siput M Lokanathan turut membuat laporan polis berhubung dakwaan ini.

Menjelaskan lagi, Indrani berkata penduduk Taman Tun Sambanthan mahu tanah itu serahkan balik dan dibina dengan kemudahan yang dijanjikan.

Beliau turut mendesak parti politik supaya tidak campur tangan.