Polis larang penggunaan 'fog lamp’ dan 'ice blue'
Penggunaan lampu kabut atau ‘fog lamp’ serta mentol ‘ice blue’ untuk lampu brek belakang yang semakin berleluasa oleh pemilik kenderaan boleh mengundang nahas jalan raya kerana tahap silau yang tinggi berbanding lampu biasa.
Walaupun dilarang dan pemasangan lampu berkenaan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, masih ramai pemilik kenderaan berdegil memasangnya tanpa memikirkan risiko terhadap pengguna jalan raya lain yang boleh mengganggu fokus pemanduan mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata penggunaan lampu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959).
Menurutnya, kesalahan itu ditafsirkan sebagai keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau memungkinkan bahaya kepada orang dalam kenderaan atau di jalan raya.
“Sebanyak 9,385 saman dikeluarkan bagi kesalahan sepanjang bulan Januari sehingga Jun tahun ini kerana menggunakan lampu berkenaan. Daripada jumlah itu, 6,566 saman belum dijelaskan manakala selebihnya telah dibayar. Sepanjang tahun lepas, 16,092 saman dikeluarkan dan 9,323 saman masih belum dijelaskan.
“Justeru, pemasangan aksesori tanpa kebenaran ini adalah menyalahi undang-undang jalan raya kerana memungkinkan bahaya kepada orang di dalam kenderaan atau di jalan raya,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata kesalahan itu juga boleh didakwa di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Azisman berkata tindakan keras akan diambil jika didapati pemandu kenderaan masih ingkar dan memasang aksesori berkenaan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
"Dari segi penguatkuasaan, kita bersedia dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dari segi penjualan, pemasangan dan kebenaran oleh pihak yang berwajib.
“Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik kenderaan supaya tidak mengubah suai kenderaan mereka dengan memasang lampu berkenaan yang melanggar Vehicle Type Approval (VTA) yang diberikan kepada kenderaan tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan kenderaan berkenaan juga boleh disita di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengelak kesalahan tersebut berulang.
Tinjauan Bernama di platform e-dagang mendapati lampu berkenaan dengan pelbagai jenama boleh diperoleh dengan harga semurah RM30 dan mencecah ribuan ringgit bagi pelbagai jenis model kenderaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai